MP Pas padam ‘posting’ program dalam masjid

Ahli Parlimen Parit dari Pas, Muhammad Ismi Mat Taib memadam hantaran di Facebook beliau mengenai program bersama jemaah di Masjid Qariah Kampung Air Mati, Bota.

Aktivis, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mendedahkan hal tersebut sambil mengingatkan tentang titah Sultan Perak yang melarang mana-mana ahli politik memberi ceramah atau apa sahaja ucapan di dalam masjid.

“Hormatilah titah Tuanku Sultan. Pengerusi dan AJK masjid sengaja menempah masalah,” tegasnya.

Terdahulu, Ismi menerusi posting yang kemudiannya dipadam itu turut memaparkan foto wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) berkenaan memegang mikrofon seperti sedang berucap.

“Selain menunaikan solat berjemaah, YB Ustaz Ismi turut mengambil kesempatan beramah mesra dengan para jemaah, bertanya khabar serta mendengar pandangan dan keperluan komuniti setempat.

“Pendekatan ini mencerminkan komitmen beliau untuk sentiasa dekat dengan rakyat, khususnya dalam mengimarahkan masjid sebagai pusat penyatuan ummah,” menurut hantaran tersebut.

Untuk rekod, wakil rakyat dan pemimpin politik di Perak dilarang untuk memberikan ceramah di dalam masjid dan surau berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Larangan itu terkandung dalam Garis Panduan Penganjuran dan Syarahan Agama Islam Negeri Perak berkuat kuasa 11 Mac 2024.

Dalam garis panduan itu, tiada kebenaran diberikan kepada individu yang telah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara, Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mana-mana negeri untuk menyampaikan syarahan agama di masjid dan surau yang berdaftar.

BACA JUGA Ribuan rumah di Sabah tenggelam, mangsa terus meningkat, Sarawak buka PPS pertama