Patutlah Khairul Aming pandai borak dengan geng makcik

Usahawan dan pempengaruh media sosial terkenal, Khairul Aming berkongsi kenangan zaman kecilnya yang banyak mempengaruhi minat beliau dalam dunia perniagaan hari ini.

Pemilik restoran berkonsepkan masakan Melayu, Rembayung itu berkata, beliau sebelum ini menimba banyak pengalaman membantu ibunya berniaga kuih di pasar.

“Kita biasa ikut mak pergi pasar jual kuih. Mak saya tak pakai kalkulator. Orang beli kuih cik mek, kuih talam, kuih tako… beli darab semua… congak saja.

“Mak saya memang berniaga kuih di pasar. Saya memang ikut mak sejak kecil. Sebab itu saya suka berniaga dan suka borak dengan makcik-makcik,” katanya dalam satu siaran TikTok menjual kurta bersama selebriti Zizan Razak.

Terdahulu, Khairul Aming yang juga mesra dikenali sebagai KA mencongak dengan pantas dan betul jumlah unit kurta yang sudah terjual ketika itu.

Sementara itu, pemuda kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu dilapor berkata, beliau kagum dengan pengorbanan ibunya yang menjual kuih tako selama lebih 14 tahun.

Beliau yang baru-baru ini mencipta rekod meraih RM2.3 juta jualan bagi pelbagai produk dalam satu hari menerusi siaran langsung TikTok Shop berkata, ibunya akan bangun 3 atau 4 pagi.

Menurutnya, beliau akan menemani ibunya pergi ke pasar dan meletakkan kuih pada setiap peniaga.

Khairul Aming, atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 34, juga berkata, sejak kecil lagi beliau diajar oleh ibunya akan kepentingan bersedekah.

Tidak hairanlah, KA terkenal sebagai majikan yang sangat menghargai pekerja dengan memberikan bonus tahunan, duit raya, baju raya, dan membawa staf bercuti (staycation) mewah.

Beliau pernah membawa hampir 100 pekerja membeli-belah baju raya dan menutup kilang Sambal Nyet sebagai tanda penghargaan.

BACA JUGA MP Pas padam ‘posting’ program dalam masjid