Pembatalan tarif AS dan kesan geopolitik
NASAIE ISMAIL
Keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (mahkamah tertinggi) membatalkan tarif Trump yang dikenakan kepada lebih 100 negara di dunia bukan sekadar memberi implikasi kepada negara negara berkenaan di dunia dan juga kepada polisi luar Trump, tetapi juga domestik politik AS tersendiri.
Mudah difahami untuk dunia. Trump gunakan tarif sebagai alat ugutan dan tekanan untuk memenuhi kehendak geopolitiknya. Bagi Trump dia akan perolehi dua keuntungan serentak. Pertama, peningkatan pendapatan negara US dan perdagangan antarabangsanya yang seimbang berbanding selama ini kebanyakannya berdepan dengan defisit iaitu import US lebih banyak berbanding eksport.
Keduanya, kebanyakan negara negara yang tidak punya keupayaan melawan akan menurut sahaja kehendak politik US, termasuk dalam hal penyelesaian konflik di Timur Tengah khusus dalam kes Gaza, tekanan kepada Eropah dalam hal Greenland, Venezuela dan hubungan dagang negara negara berkenaan dengan China, Russia dan Iran. Terkini India dipaksa menghentikan pembelian minyak dari Russia dengan ugutan tarif 50 peratus.
Itulah hasrat Donald Trump untuk mengangkat kembali kekuasaan AS yang semakin terhakis sejak hampir dua dekad lalu khususnya pasca Financial Crisis 2008. Apabila mahkamah agung membuat keputusan membatalkan, Trump tidak ada upaya melawan melainkan hanya menggunakan senjata sementara iaitu menggunakan akta lain untuk mengenakan tarif sementara selama 150 hari sebanyak 10 peratus.
Persoalan berikutnya ialah, dengan kegagalan melaksanakan tarif yang dibatalkan mahkamah agung tersebut, bagaimana pula kesannya kepada dasar luar AS? Tindakannya cuba menyelesaikan konflik di Gaza dengan mengkorporatkan wilayah tersebut menggunakan Board of Peace, menekan India dalam kes Russia, menekan EU dalam kes Greenland dan memaksa sebanyak mungkin negara menjauhi China.
Ada satu lagi yang ramai tidak perasan ialah cubaan AS untuk menguasai pengeluaran dan pemprosesan kritikal mineral seperti Rare Earth Element (REE) yang kini dibimbangi menjadi senjata geopolitik China dengan membuat pertemuan dengan 50 buah negara pengeluar termasuk Malaysia, negara negara EU, Jepun dan Australia. Jadi, sejauhmana pula negara negara ini akan menuruti kehendak AS pasca kebimbangan akan ugutan tarif Trump dibatalkan mahkamah agung AS.
Kesimpulan untuk hasrat Trump mendapat dua keuntungan serentak dengan menggunakan tarif sebagai senjata geopolitik, kelihatannya memakan diri. Jika selama ini AS punya tarif sebagai senjata geopolitik dan lawannya China menggunakan kritikal mineral sebagai senjata balas, kini kelihatan seolah kedua duanya gagal buat Trump.
Ia sesuatu yang sukar kerana tidak lama lagi AS akan berdepan dengan pilihanraya mid term untuk memilih ahli ahli parlimen (Kongress). Jika Republikan hilang majoriti, ia akan dianggap referendum terhadap kegagalan Trump dan daripada sudut perundangannya beliau akan lebih sukar untuk melaksanakan pelbagai polisi dan perundangannya yang memerlukan kelulusan Kongres.
Ok berbalik kepada tujuan asal perbahasan di atas. Ada perkara ketiga yang mungkin terlepas pandang dalam hal keputusan mahkamah agung AS membatalkan tarif Trump. Ia menunjukkan bahawa sistem demokrasi di AS masih lagi berjalan apabila proses semak dan imbang (check and balance) itu masih berlaku dengan institusi institusi lain yang membentuk negara masih berfungsi secara bebas.
Tidak hanya Presiden yang berleluasa boleh menggunakan kuasanya, tetapi badan perundangan seperti kongres dan badan kehakiman seperti Mahkamah Agung masih lagi bebas dan mempunyai keupayaan menggagalkan sebarang polisi merosakkan negara oleh pihak Presiden.
Hal ini menjadikan hayat AS masih lagi ada. Bukan soal masih berada sebagai kuasa unilateral terkuat atau semakin merosot, tetapi negara itu masih menjadi relevan paling tidak untuk tempoh beberapa dekad ke depan. Sama halnya dalam isu ketuaan populasi (ageing population) yang dihadapi oleh Eropah, Jepun dan China.
AS tidak berada pada kategori 3 wilayah atau negara tersebut. Walaupun ada kemerosotan. Kerana kadar kelahiran dan pengiktirafan kepada imigran secara khususnya skill workers untuk berada dan menjadi sebahagian Amerika tetap berlaku di AS. Walaupun kekerasan terhadap pekerja asing berlaku di bawah pentadbiran Donald Trump, tetapi angka imigran yang bekerja di US berganda lebih banyak berbanding di Eropah atau Jepun. Maka kesan ekonomi akibat ageing population sebagaimana di Eropah dan Jepun tidak terkesan teruk kepada US.
Ini beberapa pembelajaran yang boleh kita fikirkan bukan semata mata berkenaan AS, tetapi untuk negara dan rantau kita di sebelah Asia Tenggara. Ke mana hendak kita mendaki? Bagaimana kita hendak kekal relevan di masa hadapan?