Ini penggal terakhir, Hassan Karim sahkan
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding mempertahankan kerusi parlimennya di dalam pilihan raya umum ke-16.
Walau bagaimanapun ahli parlimen dua penggal ini menegaskan bahawa beliau akan membantu partinya, PKR mengekalkan kerusi tersebut.
“Saya Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen PKR bagi kawasan Pasir Gudang akan tetap setia pada Parti Keadilan dan akan berjuang mempertahankan Keadilan supaya tetap menang di Pasir Gudang walaupun saya tidak bertanding lagi sebagai calon dalam PRU-16 akan datang.
“Saya akan berkempen untuk Parti Keadilan dalam pilihanraya umum nanti, walau saya sudah uzur.
“Tak kuat berlari; saya berjalan; tak kuat berjalan, saya bertongkat. Namun mengkhianati Parti Keadilan tidak sama sekali.”
Hassan yang lantang berkata demikian di dalam satu hantaran Facebook.
Beliau turut menyentuh isu perbezaan pendiriannya dengan kepimpinan parti yang sering terserlah ketika berdebat di Dewan Rakyat.
“Walaupun terdapat perbezaan pandangan dan pendirian dalam beberapa isu antara saya dengan kepimpinan tertinggi Parti Keadilan termasuk Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi saya akan tetap berjuang untuk Parti Keadilan sebagai anggota biasa.
“Perbezaan pandangan dan pendirian adalah perkara biasa dalam Parti yang terbuka seperti PKR.
“Bagi saya secara peribadi, Parti Keadilan perlu dipertahankan.Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi Parti Keadilan Rakyat sukar dicari ganti.”
BACA JUGA: Jadi ke tak Rafizi bertanding di Pandan?