‘Janganlah asyik nak spin…’ – Tengku Zafrul letih nak layan Rafizi
Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz menjawab dakwaan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa Malaysia terpaksa membayar tarif kepada Amerika Syarikat hampir dua kali ganda berbanding negara-negara lain.
Beliau berkata, Rafizi tidak seharusnya memutarbelitkan fakta mengenai isu ini.
“Rafizi, janganlah asyik nak spin. Letihlah nak layan. Bulan puasa ini kita nak fokus ibadah. Apa benda yang kena bayar tarif dua kali ganda ini?
“Bila mahkamah agung AS dah batalkan tarif, maknanya tarif 19 peratus yang kena dekat Malaysia pun dah tak jadilah,” katanya dalam satu video penjelasan dimuat naik di Facebook.
Dalam penerangan lebih mudah, Tengku Zafrul mengumpamakan konsep Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) seperti membeli insurans perjalanan sebelum melancong sebagai ikhtiar menyediakan payung sebelum hujan.
“Konsep perjanjian ART ini sebenarnya mudah. Dia macam insurans perjalanan. Masa nak melancong orang selalu fikir takkan jadi apa-apa. Tapi bila masuk hospital luar negara, bil boleh cecah puluhan ribu ringgit. Waktu itu barulah kita faham kenapa bayar takaful itu penting.
“ART ini pun sama. Kita bersedia dari awal. Sediakan payung sebelum hujan. Kita memang tahu kes mahkamah ini sedang berjalan, tetapi kalau kita tunggu sampai kes selesai dan keputusan memihak kepada Trump bagaimana?
“Barulah masa itu kita terhegeh-hegeh nak mula berunding. Dalam perdagangan global hari ini siapa lambat bergerak akan bayar harga yang mahal.
“Sebab itu kita mesti bertindak awal dan kita bukan satu-satunya negara yang ambil pendekatan ini. EU, UK, Jepun, Korea, dan terkini jiran kita Indonesia telah capai persefahaman dengan AS.
“Adakah semua negara ini tergesa gesa juga? Atau mereka juga mahu beri kepastian kepada industri masing-masing,” ujarnya.
Pada akhirnya kata Zafrul, ia bukan tentang siapa yang paling kuat bercakap, tetapi siapa yang paling awal bertindak untuk melindungi ekonomi negara.
“Kita pilih untuk proaktif kerana setiap keputusan perdagangan ini melibatkan pekerjaan rakyat dan masa depan industri Malaysia.
“Ada orang tunggu ribut datang lepas itu sibuk bercakap tentang cara nak selamat. Kita pula pilih untuk pasang payung awal supaya rakyat tak perlu basah dulu baru nak cari teduh,” jelasnya lagi.
BACA JUGA Kenapa saf jemaah wanita selalu lompong macam ini?