Stadium Titiwangsa rasmi ‘Home of Sepak Takraw’, perkukuh pembangunan sukan negara

FOTO BERITA: Majlis Pengumuman Stadium Titiwangsa sebagai Hab Sepak Takraw (Home of Sepak Takraw) disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) di Stadium Titiwangsa, Jln Tembeling, KL. 23hb Februari 2026 (Isnin)

Stadium Titiwangsa hari ini secara rasmi diumumkan sebagai Hab Sepak Takraw atau “Home of Sepak Takraw” dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), di Stadium Titiwangsa.

Dalam ucapannya, beliau berkata stadium tertutup milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu merupakan satu-satunya fasiliti seumpamanya yang menjadi tumpuan pelbagai agensi kerajaan, swasta, sekolah serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk penganjuran program dan acara sukan.

Pengiktirafan tersebut dibuat susulan prestasi cemerlang skuad sepak takraw negara sepanjang 2025, termasuk muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia di Stadium Titiwangsa pada Mei serta meraih dua pingat emas di temasya Sukan SEA 2025 di Bangkok, Disember lalu. Sehubungan itu, kerajaan menerusi Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL bersetuju menjadikan stadium berkenaan sebagai pusat rasmi pembangunan sukan tersebut.

Menurut Hannah, pencapaian berkenaan membuktikan sepak takraw bukan sekadar sukan tradisi, malah sukan kompetitif bertaraf dunia yang memerlukan sokongan berterusan, perancangan strategik dan kemudahan berkualiti. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia atas komitmen berterusan dalam pembangunan atlet serta pengukuhan struktur sukan yang menyumbang kepada kejayaan negara.

Katanya, kewujudan “Home of Sepak Takraw” menyediakan platform latihan lebih sistematik dan berfokus kepada prestasi tinggi, selain menjadi pusat latihan pasukan sepak takraw Wilayah Persekutuan bagi persediaan menghadapi temasya SUKMA Ogos 2026 di Selangor.

DBKL turut memperuntukkan kira-kira RM80,000 bagi penambahbaikan kemudahan stadium, merangkumi lukisan mural dan identiti khas “Home of Sepak Takraw”, kerja mengecat bangunan, pemasangan papan skor LED, naik taraf ruang VIP, surau, bilik media, stor, tandas, penyediaan peralatan sepak takraw serta penambahbaikan bilik persalinan dan bilik mesyuarat.

Majlis turut diserikan dengan perlawanan persahabatan antara pasukan SUKMA dan pasukan Sukan SEA sebagai tanda penghargaan kepada atlet yang mengharumkan nama negara. Selain itu, penyampaian sagu hati imbuhan kemenangan diberikan kepada lapan atlet DBKL termasuk jurulatih yang memenangi satu pingat emas, dua perak dan lima gangsa di Sukan SEA 2025.

Dalam perkembangan sama, Persekutuan Sepak Takraw Malaysia akan terus mempergiatkan penganjuran Klinik Sepak Takraw melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil bagi memperluas pembangunan sukan tersebut di peringkat akar umbi.
