Exco Pas Terengganu didakwa salah guna kuasa demi dua anak

Wakil rakyat Pas, Datuk Hanafiah Mat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan membabitkan ahli keluarganya.

Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Azman Mustafa.

Berdasarkan pertuduhan, Hanafiah didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anak kandungnya, Mohd Najmi Hanafiah, pada 15 Ogos 2020.

Bagi pertuduhan kedua, pemimpin Pas berkenaan didakwa melakukan perbuatan sama pada 18 Jun 2020 bagi mendapatkan suapan untuk seorang lagi anak kandungnya, Ahmad Kamil Hanafiah.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkenaan di Pejabat EPIC Berhad, Tingkat 2, Bangunan Annexe, Pangkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong, Kemaman.

Kes bagi kedua-dua pertuduhan tersebut disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, peguam tertuduh, Fadly Hashim melalui rayuan memohon pasport tertuduh tidak diserah kepada mahkamah atas alasan tidak berisiko melarikan diri.

Tambahnya, tertuduh juga sebagai seorang ADUN serta mempunyai tanggungan dua isteri dan 13 orang anak.

Untuk rekod, Hanafiah pernah mengundang kecaman orang ramai apabila disifatkan memperlekeh Menu Rahmah dengan menuang air oren ke dalam nasi kononnya supaya menu “ada rasa”.

BACA JUGA Peniaga bazar Ramadan pun akui ramai tidak berpuasa