Kenapa Jepun suka sangat terima rakyat Malaysia bekerja di sana?
Jepun dilaporkan semakin berminat mengambil rakyat Malaysia bekerja di negara itu susulan beberapa faktor utama termasuk tenaga kerja muda, tahap pendidikan yang baik serta rekod prestasi cemerlang pekerja Malaysia.
Penyelaras program Cakap Jepun berkata, negara matahari terbit itu kini berdepan cabaran populasi menua, dengan majoriti rakyatnya berusia 60 tahun ke atas.
Keadaan itu menjadikan tenaga kerja dari luar, termasuk Malaysia, amat diperlukan.
Menurut beliau, rakyat Malaysia yang berumur sekitar 40 tahun masih dianggap muda dalam konteks pasaran buruh Jepun.
“Di Jepun, mereka sedang mengalami masalah populasi menua. Kalau anda berumur 40 tahun, masih muda dan masih relevan untuk bekerja,” katanya.
Selain faktor usia, kualiti latihan dan pendidikan yang diterima rakyat Malaysia turut mendapat pengiktirafan tinggi daripada syarikat Jepun.
Katanya, banyak syarikat dari Jepun yang dibawa melawat institusi TVET, kolej dan universiti di Malaysia kagum dengan hasil latihan pelajar tempatan.
“Majoriti syarikat Jepun sangat teruja melihat kemahiran pelajar kita.
“Ada yang terus menawarkan pekerjaan kepada pelajar Malaysia untuk bekerja di Jepun sebaik tamat latihan,” jelasnya.
Beliau turut menekankan faktor sikap dan budaya rakyat Malaysia yang sopan serta mudah menyesuaikan diri sebagai kelebihan besar di Jepun.
Menurutnya, sifat ramah, beradab dan mudah bergaul menjadikan rakyat Malaysia cepat diterima dalam masyarakat dan tempat kerja di negara itu.
“Jepun suka sangat dengan sifat ini sebab nampak sangat inklusif. Kita senang untuk dibuat kawan dan mudah diterima masyarakat sana.
“Orang tua sana suka tau, silap-silap boleh jadi menantu,” selorohnya.
Dari segi pentadbiran pula, proses pengurusan visa untuk rakyat Malaysia juga dianggap antara yang paling mudah berbanding negara lain.
Ini memudahkan syarikat Jepun membawa masuk pekerja dari Malaysia sama ada melalui visa bekerja, belajar atau program latihan teknikal seperti Technical Intern Training Program (TITP).
Tambah beliau, rekod prestasi pekerja Malaysia di Jepun juga sangat baik berdasarkan maklum balas majikan.
Ramai pekerja Malaysia menerima penilaian positif dan ada yang ditawarkan jawatan tetap serta peluang perniagaan selepas memulakan kerja sambilan di sana.
“Majikan di Jepun mahukan lebih ramai rakyat Malaysia datang bekerja kerana prestasi senior kita sangat baik.
“Ada pelajar yang bermula dengan kerja sambilan, kemudian ditawarkan kerja sepenuh masa dan peluang menjadi rakan kongsi perniagaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau melihat peluang rakyat Malaysia bekerja di Jepun akan terus meningkat khususnya dalam sektor teknikal, perkhidmatan dan pembuatan.
BACA JUGA Exco Pas Terengganu didakwa salah guna kuasa demi dua anak