Adun Kota Lama minta SPRM siasat dakwaan lantik anak jadi pegawai di Kelantan
Adun Kota Lama, Kelantan, Dr Hafizah Mustakim memandang serius laporan berkaitan pendakwaan terhadap Exco Kerajaan Negeri Terengganu dan dakwaan yang turut mengaitkan amalan pelantikan ahli keluarga dalam GLC negeri di Kelantan, termasuk melibatkan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
“Sebagai wakil rakyat, prinsip saya jelas — integriti, akauntabiliti dan ketelusan mesti menjadi asas pentadbiran negeri. Dakwaan salah guna kuasa, amalan nepotisme serta kewujudan kartel dalam pemberian projek bukan isu kecil. Ia menyentuh soal amanah rakyat dan masa depan ekonomi negeri.
“Saya menyeru agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan yang bebas, telus dan menyeluruh terhadap semua dakwaan ini tanpa campur tangan mana-mana pihak.
“Jika benar wujud salah guna kuasa atau penyelewengan, maka tindakan tegas mesti diambil mengikut undang-undang, tanpa memilih bulu,” katanya.
Bagi beliau, amanah bukan warisan keluarga. Amanah adalah tanggungjawab kepada rakyat.
Katanya, kes yang sedang berjalan melibatkan Exco Terengganu yang disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 harus menjadi peringatan kepada semua pemegang jawatan bahawa kuasa bukanlah hak peribadi, tetapi amanah yang akan dipersoalkan di dunia dan akhirat.
“Dalam masa yang sama, kita menghormati prinsip “innocent until proven guilty” dan memberi ruang kepada proses perundangan berjalan dengan adil.
“Rakyat Kelantan berhak mendapat pentadbiran yang bersih dan profesional.
“Saya komited untuk terus memperjuangkan tadbir urus yang baik, ketelusan dalam pelantikan serta pengurusan GLC yang berasaskan merit, bukan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Sebelum ini, Harapandaily melaporkan kegelisahan pemimpin kerajaan dan GLC di Kelantan ekoran dakwaan salahguna kuasa dan rasuah Exco Terengganu, Datuk Hanapiah Mat.
Ini kerana, fenomena yang sama juga berlaku di Kelantan apabila ramai ahli keluarga terdekat pemimpin kerajaan negeri dan GLC Kelantan mendapat peluang pekerjaan di dalam badan kerajaan dan juga GLC.
Menurut sumber, amalan ini juga dilakukan oleh pengurusan tertinggi PKINK di mana anak dan bakal menantu mereka juga mendapat peluang pekerjaan di bawah anak syarikat PKINK.
Menurut sumber yang sama, SPRM sedang menyiasat dakwaan pengurusan tertinggi yang didakwa terlibat amalan kartel dalam pemberian projek.
Sejak dua tahun lepas, PKINK dikatakan telah menambah 30 peratus pekerja termasuk pemain bolasepak yang jawatannya tidak mempunyai sebarang kerja.
BACA JUGA Pemimpin kerajaan dan GLC Kelantan ketar lutut selepas Exco Terengganu didakwa