Cuci tandas dan urus budak, bekas guru Pasti bimbang kongsi kebenaran
Aktivis, Harun Mohd Shah, mendakwa menerima aduan daripada seorang bekas guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) berhubung kadar gaji terlalu rendah serta beban tugas yang tidak setimpal.
Menurut Harun, bekas guru berkenaan menghubunginya secara peribadi selepas membaca satu hantaran berkaitan isu gaji guru Pasti sebelum ini.
Dakwanya, wanita berkenaan tidak berani berkongsi pengalaman secara terbuka di ruangan komen kerana bimbang dikecam oleh penyokong parti.
Menerusi mesej peribadi yang diterima, bekas guru itu mendakwa beliau menerima gaji hanya RM600 sebulan sepanjang tempoh berkhidmat.

Menurut perkongsian tersebut, waktu kerja bermula seawal jam 7 pagi hingga 1.30 tengah hari.
Namun, tugas yang dipikul bukan sekadar mengajar, sebaliknya merangkumi kerja-kerja pengurusan kelas dan kebersihan.
Antara tugas yang didakwa perlu dilakukan termasuk mengemas kelas, mencuci tandas, mencuci pinggan, menyediakan minuman serta menguruskan murid-murid sepanjang sesi persekolahan.
Sehubungan itu, Harun mempersoalkan kadar bayaran tersebut dengan menyifatkannya sebagai tidak setimpal dengan tanggungjawab dan beban kerja yang digalas.
BACA JUGA Pas ambil alih PN ketika gabungan dalam fasa kecamuk