Pelajar pijak al-Quran direman 4 hari, UMPSA tubuh jawatankuasa siasatan
Seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) direman empat hari bagi membantu siasatan susulan tular gambar lelaki disyaki memijak al-Quran dan memuat naik di media sosial, hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, penuntut berkenaan ditahan awal pagi susulan laporan polis dibuat bapa suspek.
Beliau berkata, bapa penuntut itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk membuat laporan mengenai hantaran di media sosial dilakukan anaknya berkaitan penghinaan terhadap al-Quran.
“Dalam kejadian itu, anak pengadu berusia 21 tahun memuat naik gambar menghina kitab suci agama Islam di media sosial miliknya.
“Pengadu datang ke balai polis bersama anaknya dengan tujuan memohon maaf kepada orang Islam.
“Tindakan itu dilakukan pengadu kerana bimbang keselamatan anaknya selepas membuat hantaran menghina Islam di media sosial,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, UMPSA menerusi kenyataan semalam berkata, sebuah jawatankuasa ditubuhkan
untuk menyiasat dakwaan seorang penuntut universiti terbabit menghina Islam.
Pihak universiti terbabit tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyebaran kandungan palsu atau berbaur kebencian lebih-lebih lagi menyentuh sentimen 3R (agama, bangsa dan institusi diraja).
BACA JUGA Cuci tandas dan urus budak, bekas guru Pasti bimbang kongsi kebenaran