Penjual harap menu baharu Khairul Aming guna jagung, KA pun rajin melayan

Seorang penjual mencuri perhatian warganet apabila secara berseloroh meminta pempengaruh terkenal, Khairul Aming, mempertimbangkan menu berasaskan jagung bagi perkongsian resepi selepas ini.

Peniaga jagung dari Pasar Besar Meru itu menyatakan beliau tidak mempunyai sebarang aduan, namun bertanya sama ada terdapat perancangan menu berasaskan jagung.

Katanya, pertanyaan itu dibuat kerana beliau menjual jagung dan berharap dapat memanfaatkan permintaan jika menu tersebut diperkenalkan.

“Tiada apa nak complain, tapi untuk tahun ni ada tak menu yang berasaskan jagung?” soalnya menerusi hantaran ringkas yang tular di media sosial.

Menariknya, Khairul Aming atau lebih dikenali sebagai KA yang juga pemilik restoran masakan Melayu, Rembayung kemudian membalas mesej tersebut dengan nada positif.

Pemilik suara ikonik ‘Whats up guys!’ berkenaan memberi bayangan bahawa idea penjual jagung itu akan dipertimbangkan.

“Wassalam, ok boleh, malam ni saya R&D,” jawabnya.

Rata-rata warganet memuji Khairul Aming, atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman yang disifatkan rajin melayan.

Malah, ada berseloroh dengan mengingatkan orang ramai agar segera membeli bekalan jagung sebelum permintaan terhadap makanan itu melonjak sehingga habis di pasaran.

“Pergi beli jagung siap-siap buat stok sebelum sold out,” kata netizen.

Tidak kurang juga ada yang menyenaraikan kemungkinan menu yang mungkin resepinya akan dikongsikan KA seperti cekodok jagung, lepat jagung dan bubur jagung.

BACA JUGA Cuci tandas dan urus budak, bekas guru Pasti bimbang kongsi kebenaran