KBS anggap belia aset masa depan, peranan media penting realisasi aspirasi

FOTO BERITA: Majlis Iftar Media bersama YB Dr. Mohammed Taufiq Johari Menteri Belia Dan Sukan di Kelab Golf Negara Subang (KGNS), Petaling Jaya, Selangor. 26hb Februari 2026 (Khamis)

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, menegaskan komitmen Kementerian Belia dan Sukan Malaysia untuk memperkasakan generasi muda serta memupuk perpaduan nasional menerusi pembangunan belia dan sukan negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Bersama Media yang berlangsung di Kelab Golf Negara Subang, di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Dr. Mohammed Taufiq menyifatkan kementerian itu sebagai antara institusi penting yang menentukan hala tuju masa depan negara kerana berperanan melahirkan pelapis kepimpinan serta membangunkan potensi anak muda secara menyeluruh.

Menurut beliau, kerjasama erat dengan rakan media amat diperlukan bagi menyampaikan aspirasi kementerian serta memahami suara dan keperluan sebenar golongan belia di peringkat akar umbi.

“Belia dan sukan merupakan platform strategik untuk membina perpaduan. Anak muda dan atlet boleh menjadi jambatan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum, bangsa dan agama dalam negara ini,” katanya.

Mengulas persiapan temasya sukan antarabangsa, beliau berkata Malaysia kini memberi tumpuan kepada beberapa kejohanan utama termasuk Sukan Asia, Sukan Komanwel serta Sukan SEA 2027 yang bakal menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah.

Beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh disiplin, pembangunan sahsiah dan semangat berpasukan atlet akan dipertingkat bagi memastikan kontinjen negara mencapai prestasi lebih baik dan membanggakan Malaysia di pentas antarabangsa.

Dalam aspek pembangunan belia, Dr. Mohammed Taufiq memaklumkan kementerian kini giat melaksanakan pelbagai program kepimpinan dan inisiatif Rakan Muda termasuk pelaksanaan kalender mega tahunan yang merangkumi 10 gaya hidup belia di seluruh negara.

Beliau turut menekankan cabaran semasa apabila kira-kira sembilan juta belia di Malaysia dikenal pasti, dengan sebahagian besar masih belum menyertai pertubuhan belia. Justeru, kementerian menggalakkan penyertaan lebih aktif menerusi pelbagai insentif.

Antara inisiatif utama ialah program Sejati MADANI Belia yang menawarkan geran sehingga RM100,000 kepada setiap pertubuhan belia berdaftar, dengan anggaran 2,500 persatuan berpotensi menerima manfaat tersebut bagi memperkukuh aktiviti serta menjana ekonomi organisasi.

Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan pengecualian bayaran pendaftaran pertubuhan belia baharu serta yuran pindaan perlembagaan susulan penetapan had umur belia kepada 30 tahun dan ke bawah, sebagai langkah menggalakkan lebih banyak penyertaan golongan muda dalam gerakan berpersatuan.

Mengakhiri ucapannya, beliau berharap sinergi antara kementerian dan media dapat terus diperkukuh dalam usaha membina generasi muda cemerlang serta menjadikan sukan sebagai medium perpaduan nasional.