Konflik Pas – Bersatu akan berterusan meskipun pengerusi PN sudah dipilih

Dua penganalisis politik berpendapat bahawa krisis Pas – Bersatu akan Bersatu meskipun naib presiden Pas Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar telah diputuskan sebagai pengerusi Perikatan Nasional yang baharu.

Ini kerana presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin berkemungkinan mahukan majlis presiden PN mengatasi Majlis Tertinggi PN.

“Cadangan Mahiaddin ini memberikan lebih banyak kuasa kepada majlis presiden. Tiada yang tersirat mengenai cadangan ini. Ia bertujuan untuk mengekang kuasa pengerusi PN iaitu Samsuri.

“Mahiaddin mempunyai rakan Gerakan dan MIPP manakala Pas berseorangan. Mereka perlukan strategi mengekang kuasa Pas memandangkan Pas kini pengerusi PN.

“Apa yang pasti pertelagahan Pas – Bersatu belum tamat meskipun pengerusi PN telah dimuktamadkan,” kata penyelidik Akademik Nusantara Dr Azmi Hassan, lapor FMT

Penganalisis politik dari Universiti Tasmania, James Chin pula berkata cabaran besar untuk PN ialah kumpulan yang diketuai oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hamzah Zainudin dijangka membentuk parti baharu dan akan menyertai PN.

“Pertarungan besar seterusnya bukanlah berkaitan kuasa majlis presiden tetapi sama ada Bersatu mempunyai kuasa politik untuk menghentikan penyertaan Hamzah ke dalam PN,” katanya.

Hamzah dan 18 MP yang bersamanya rapat dengan Pas.

Beliau berpandangan ide Mahiaddin untuk pembentukan majlis presiden tidak akan menjadi kenyataan kerana Pas tidak akan menyerahkan kuasa mengawal pakatan tersebut.

Situasi ini lebih teruk buat Mahiaddin kerana jumlah Ahli Parlimen menyokong Hamzah lebih besar daripada enam yang setia di dalam Bersatu.

BACA JUGA: Pas tegur Bersatu, lebih baik ‘berpuasa’ daripada serang kawan sendiri