Cubaan guling kerajaan, isteri bekas menteri didakwa jadi dalang?

Isteri kepada seorang bekas menteri didakwa menjadi dalang yang merancang untuk menggulingkan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Individu itu difahamkan adalah “orang berpengaruh” yang dimaksudkan Ketua Polis Negara dalam kenyataannya awal pagi tadi.

Memetik Malaysiakini yang melihat salinan laporan polis, isteri kepada bekas menteri itu didakwa mengadakan mesyuarat dalam talian sekitar Julai tahun lalu.

Dia didakwa membincangkan perancangan untuk menggunakan saluran media antarabangsa bagi memberi tekanan kepada Anwar dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Beberapa individu lain yang terlibat dalam mesyuarat berkenaan termasuklah dua anak bekas menteri tersebut, dua peguam, dan beberapa wakil firma komunikasi strategik antarabangsa.

Berdasarkan laporan polis, mesyuarat tersebut turut melibatkan dua ahli perniagaan, termasuk seorang yang membuat laporan polis kerana menyatakan rasa tidak setuju dengan rancangan berkenaan dan telah menarik diri.

Pengadu berkata, dia menyedari perkara itu salah dan mempunyai unsur pengkhianatan kerana ia melibatkan kerjasama dengan “ejen asing” untuk menjatuhkan kerajaan dan perdana menteri.

Awal pagi tadi, Ketua Polis Negara memaklumkan sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan terdapat cubaan menjatuhkan kerajaan dan sabotaj terhadap kestabilan negara membabitkan seorang individu berpengaruh dengan agensi media antarabangsa.

BACA JUGA Polis siasat cubaan jatuhkan kerajaan secara sabotaj oleh orang berpengaruh