Komplot jatuhkan kerajaan: Ini respon Fahmi Fadzil
Kerajaan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan wujudnya komplot untuk menggulingkan kerajaan dan mensabotaj kestabilan negara.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan memandang serius dakwaan yang sedang hangat diperkatakan itu.
“Ini adalah perkara yang sangat serius, dan kami akan menyerahkannya kepada polis untuk menjalankan siasatan penuh,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Kabinet hari ini.
Hari ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkenaan cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara membabitkan seorang individu berpengaruh.
Pada masa sama, media tempatan melaporkan, individu berpengaruh itu adalah seorang isteri kepada bekas menteri.
Dia didakwa membincangkan perancangan untuk menggunakan saluran media antarabangsa bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Beberapa individu lain yang terlibat dalam mesyuarat berkenaan termasuklah dua anak bekas menteri tersebut, dua peguam, dan beberapa wakil firma komunikasi strategik antarabangsa.
BACA JUGA Cubaan guling kerajaan, isteri bekas menteri didakwa jadi dalang?