“Keadilan Untuk 23 Nyawa” — NGO komited pantau kes hingga hak waris dipulihkan

FOTO BERITA: Serahan Memorandum & Sidang Media oleh Pengerusi Sekretariat Gabungan IKHLAS Malaysia Datuk Mohd Ridzuan Abdullah dan INECO mengenai desakan ketulusan & siasatan dana sumbangan awam (berkaitan tragedi kebakaran Tahfiz 23 nyawa) di PMO Putrajaya. 27hb Februari 2026 (Jumaat)

Pengerusi Sekretariat Gabungan IKHLAS Malaysia IKHLAS Mohd Ridzuan Abdullah mengadakan sidang media di luar pintu masuk Pejabat Perdana Menteri Malaysia hari ini bagi mendesak ketelusan serta siasatan menyeluruh terhadap pengurusan dana sumbangan awam berkaitan tragedi kebakaran di pusat tahfiz yang meragut 23 nyawa.

Sidang media tersebut diadakan sebagai kesinambungan kepada penyerahan memorandum kepada pihak kerajaan, dengan matlamat memastikan akauntabiliti pengurusan dana awam serta pembelaan terhadap mangsa dan waris tragedi berkenaan.

Mohd Ridzuan menegaskan bahawa tragedi yang berlaku pada 14hb September 2017 yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru merupakan kehilangan besar kepada negara, justeru sebarang unsur salah guna atau ketirisan dana sumbangan awam perlu disiasat secara telus dan profesional.

Sehubungan itu, beliau bersama INECO mengemukakan tiga tuntutan utama, iaitu pelaksanaan audit forensik bebas terhadap keseluruhan kutipan dan perbelanjaan dana, siasatan profesional sekiranya terdapat elemen jenayah, serta reformasi menyeluruh terhadap mekanisme pendaftaran, pemantauan dan penguatkuasaan institusi tahfiz bagi menjamin ketelusan serta kebajikan pelajar.

Menurut mereka, audit forensik bebas penting bagi memastikan setiap sumbangan awam diurus dengan penuh integriti, manakala siasatan profesional perlu dilaksanakan jika terdapat pelanggaran undang-undang.

Dalam sidang media itu, Sekretariat Gabungan IKHLAS dan INECO berkenaan turut menegaskan bahawa agama tidak boleh dijadikan perisai untuk melindungi sebarang bentuk salah laku atau kepentingan peribadi. Sebaliknya, amanah rakyat mesti dipertahankan dan keadilan kepada mangsa serta waris tragedi wajib ditegakkan.

Gabungan NGO itu memaklumkan akan terus memantau perkembangan kes tersebut sehingga keadilan dicapai sepenuhnya serta hak waris mangsa dipulihkan.

Sidang media berkenaan diakhiri dengan penegasan laungan, “PMX Bantu Kami”