Kamil Munim gesa polis siasat, dedah ‘petualang’ nak jatuhkan kerajaan

Setiausaha politik kepada menteri kewangan, Muhammad Kamil Abd Munim, menggesa pihak polis untuk segera menjalankan siasatan menyeluruh dan mendedahkan petualang terlibat dalam komplot untuk menjatuhkan kerajaan.

Beliau berkata, sekiranya benar wujud komplot berkenaan, ia merupakan ancaman luar yang tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi jika terdapat watak pengkhianat dari dalam yang sanggup bersekongkol demi kepentingan peribadi.

Tegasnya, perkara ini telah menyentuh secara langsung soal kedaulatan dan maruah negara, dan tidak sekadar polemik atau rengekan biasa. 

“Lantaran itu, wajar kita mendesak agar pihak PDRM segera menjalankan siasatan menyeluruh dan mendedahkan petualang yang terlibat serta yang bersubahat tanpa mengira kedudukan.

“Kita tidak mahu lagi perkara sebegini dilihat sebagai helah politik. 

“Rakyat berhak mengetahui kebenaran, dan negara tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang sanggup memperdagang kedaulatan serta maruah negara demi apa saja kepentingan yang merosakkan,” katanya di X.

Media melaporkan, isteri kepada seorang bekas menteri didakwa jadi dalang yang menggerakkan rancangan untuk menggulingkan kerajaan dan Perdana Menteri.

Pihak polis tidak mendedahkan siapa individu tersebut.

Semalam, isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid menafikan beliau cuba menggugat atau menjatuhkan kerajaan, menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak masuk akal.

Beliau juga menegaskan tidak pernah terbabit, mempertimbangkan atau menyokong sebarang usaha sedemikian.

BACA JUGA Terkini KWSP umum dividen 6.15 peratus untuk simpanan konvensional dan shariah