Sembang santai betul ni, PM Anwar santuni mahasiswa di Seri Perdana
Suasana di Kompleks Seri Perdana malam tadi bukan sekadar majlis berbuka puasa biasa.
Ia menjadi ruang sembang santai penuh kemesraan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menyantuni mahasiswa yang dijemput khas dalam satu sesi interaksi tanpa protokol yang kaku.

Dalam suasana sederhana dan mesra, para mahasiswa dilihat berpeluang berbual secara langsung dengan Perdana Menteri.
Gelak tawa dan perbualan santai mewarnai perbincangan topik yang serius. Tergambar hubungan erat antara kepimpinan negara dan generasi muda berpendidikan tinggi harapan kemakmuran tanah air.

Program seumpama ini bukan sesuatu yang asing sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila inisiatif Mahasiswa Temu Anwar kerap dianjurkan.
Pendekatan itu dilihat membuka ruang dialog dua hala, sekali gus memberi peluang kepada mahasiswa menyuarakan pandangan secara terus kepada pemimpin tertinggi negara.
Pencipta pekerjaan
Menerusi media sosial rasmi Perdana Menteri, beliau bersyukur kerana berkesempatan berbuka puasa bersama mahasiswa universiti awam dan swasta, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) serta Politeknik di Kompleks Seri Perdana.

Dalam ucapannya, Anwar menegaskan Ramadan adalah madrasah terbaik untuk membentuk sahsiah, memperkukuh nilai takwa dan memupuk integriti.
Dalam mendepani cabaran zaman pascanormal, beliau menyeru mahasiswa agar menjadikan nilai-nilai tersebut sebagai kompas moral selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035.

“Negara mahu melahirkan generasi berilmu, beradab dan berdaya cipta, menguasai teknologi, AI (kecerdasan buatan) dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), serta berani menjadi pencipta pekerjaan, bukan sekadar pencari kerja, selain pemerkasaan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) melalui kerangka STAR (Strategi Reformasi Agenda TVET) turut menjadi tumpuan dalam memastikan pendidikan terus relevan dan inklusif,” kata beliau.
Selepas solat Maghrib berjemaah, Anwar yang telah diiktiraf sebagai tokoh Muslim paling berpengaruh ke-10 di dunia itu turut menyampaikan tazkirah ringkas dan perkongsian kepada anak-anak muda terbabit.
“Semoga Ramadan ini memperteguh tekad kita membina Malaysia yang lebih maju dan berintegriti,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA AMANAH kecam sekeras-kerasnya serangan Israel, AS terhadap Iran