Ribuan rakyat Iran berhimpun, warga New York bantah serangan AS

Bandar Shiraz di Iran hari ini menyaksikan ribuan orang berhimpun membantah pembunuhan pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan terkutuk Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Lapor Al Jazeera, kumpulan protes yang memenuhi jalan raya itu berarak sambil membawa bendera Iran serta potret tokoh yang menerajui kepimpinan Republik Islam pada 1989 itu.

Sebahagian daripada mereka turut dilapor memukul dada sebagai tanda berkabung.

Penunjuk perasaan juga melaungkan slogan “Mati kepada Amerika” dan “Mati kepada Israel”, menurut rakaman video yang disiarkan agensi berita Tasnim.

Demonstrasi kemarahan dan air mata yang sama turut berlangsung di beberapa kawasan lain di Iran, termasuk di Tehran dan bandar Yazd di bahagian tengah negara berkenaan.

Sementara itu, orang ramai di New York City berhimpun beberapa jam selepas Presiden AS, Donald Trump, mengarahkan gelombang serangan maut ke atas Iran.

Sebahagian penunjuk perasaan turut membawa plakad bertulis, “Jangan bom Iran” dan “Tiada Perang Baharu AS di Asia Barat”.

Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, menyifatkan serangan itu sebagai “peningkatan bencana dalam satu perang pencerobohan yang menyalahi undang-undang”.

Semalam bersamaan 10 Ramadan, AS dan Israel melancarkan gelombang serangan terhadap Iran ketika umat Islam di seluruh dunia sedang mengerjakan ibadat puasa.

Jurucakap Bulan Sabit Merah Iran memaklumkan sekurang-kurangnya 201 orang terbunuh dan 747 lagi cedera dalam serangan berkenaan.

Dalam perkembangan terkini, serangan AS-Israel yang menyasarkan sebuah sekolah rendah di Minab, wilayah selatan Iran menyaksikan jumlah syahid meningkat kepada 108 orang.

Operasi bantuan serta pengalihan runtuhan masih diteruskan dengan ramai lagi mangsa terkorban serta cedera didakwa masih di bawah runtuhan bangunan.

BACA JUGA Pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei terbunuh, lapor media Iran