Aset AS di empat negara Arab jadi sasaran, Iran ikrar terus serang

Sejumlah aset Amerika Syarikat (AS) di beberapa negara Arab di Teluk menjadi sasaran Iran sebagai tindak balas kepada serangan besar-besaran oleh AS dan Israel ke atas negara itu.

Kerajaan Iran mengesahkan serangan ke atas beberapa sasaran termasuk Bahrain, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang menempatkan pangkalan udara dengan aset AS.

Lapor Agensi, Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata, semua sasaran tentera Israel dan AS di Asia Barat telah diserang dengan peluru berpandu Iran yang kuat.

“Operasi ini akan diteruskan sehingga musuh kalah sepenuhnya,” katanya.

IRGC turut mengesahkan semua aset AS di rantau itu dianggap sasaran sah bagi tentera Iran.

Negara itu akan terus menggunakan hak mempertahankan diri sehingga serangan terhadap Iran berhenti sepenuhnya, tegas Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dalam surat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres.

Dalam perkembangan berkaitan, negara-negara Arab terbabit iaitu Qatar, Kuwait, Bahrain dan UAE menutup ruang udara sementara dan mengecam serangan Iran ke atas wilayah mereka.

Kapal-kapal di Teluk turut menerima notis penutupan Selat Hormuz yang merupakan laluan utama eksport minyak.

Selat Hormuz menghubungkan negara pengeluar minyak besar seperti Arab Saudi, Iran, Iraq dan UAE dengan Teluk Oman dan Lautan Hindi.

BACA JUGA Usul kecam serangan Israel ke atas Iran dibawa ke Parlimen esok