Hampir 5,000 perima sumbangan pada Majlis Iftar Ramadan 2026 di Setapak

FOTO BERITA: Majlis Iftar & Penyampaian Sumbangan Ramadan 2026 oleh Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay Timbalan Ketua Polis Negara bersama Dato’ Jawahar Ali Pengerusi Maahad Tahfiz Al-Madrasathul Faridiyah di Surau Jumaat Al-Madrasathul Faridiyah Taman Sri Rampai, Setapak, Kuala Lumpur. 1hb Mac 2026 (Ahad)

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ayob Khan Mydin Pitchay, Timbalan Ketua Polis Negara, bersama Dato’ Jawahar Ali, Pengerusi Maahad Tahfiz Al-Madrasathul Faridiyah.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Dato’ Mohd Azani Omar, Tuan Nasrul Hadi Mohamad Nur, Tuan Haji Hafiq Pudin Roslan; Datuk Sri Abdul Halim Abdul Samad serta barisan tetamu kehormat lain.

Dalam ucapannya, Tan Sri Ayob Khan merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, khususnya Dato’ Jawahar Ali yang konsisten menjemput beliau saban tahun bagi memeriahkan program tersebut.

“Alhamdulillah, ini kali ketiga saya hadir. Insya-Allah jika tiada urusan rasmi lain, saya akan terus bersama dalam program seperti ini kerana saya yakin kehadiran kita juga membawa keberkatan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana umat Islam kini telah memasuki hari ke-11 Ramadan dan diberikan kekuatan untuk menunaikan ibadah puasa serta memperbanyakkan amalan seperti sedekah, solat tarawih, tadarus dan tadabbur al-Quran.

Menurut beliau, program penyampaian sumbangan Ramadan tahun ini menyaksikan peningkatan ketara jumlah penerima dengan hampir 5,000 peserta menerima bantuan berbanding tahun sebelumnya.

Difahamkan, inisiatif penyampaian sumbangan ini telah dimulakan sejak tahun 1994 atas cetusan idea Dato’ Jawahar Ali dan terus berkembang sehingga kini dengan sokongan pelbagai pihak termasuk syarikat korporat dan penyumbang individu.

“Saya yakin segala usaha dan keringat semua pihak yang terlibat akan diberkati Allah SWT dan dikurniakan ganjaran sebaiknya, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” ujarnya.

Sementara itu dalam ucapannya, Dato’ Jawahar Ali merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang, rakan strategik dan sukarelawan yang telah membantu menjayakan program berkenaan.

Beliau memaklumkan, keseluruhan program kali ini menyasarkan kutipan dan agihan berjumlah kira-kira RM600,000 hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk syarikat korporat, ahli perniagaan serta pengusaha restoran. Setiap bakul sumbangan mengandungi 26 jenis barangan keperluan asas yang disediakan dengan kerjasama rakan penaja termasuk Neslih, Gardenia dan penyumbang lain.

“Alhamdulillah, program ini telah memasuki tahun ketiga dengan sokongan padu rakan-rakan korporat. Kita amat menghargai komitmen berterusan mereka dalam memastikan kebajikan asnaf terus terbela,” katanya.

Menurut beliau, pengagihan sumbangan telah dimulakan seawal jam 2 petang bagi memudahkan penerima, selain sebahagian bantuan akan dihantar terus ke rumah asnaf yang uzur dan tidak berkemampuan hadir.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi perkembangan Maahad Tahfiz Al-Madrasathul Faridiyah yang telah beroperasi lebih 10 tahun dan berupaya menempatkan sehingga 50 pelajar pada satu-satu masa. Setakat ini, lebih 100 pelajar telah menamatkan pengajian, dengan sebahagiannya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi serta kembali berkhidmat kepada madrasah sebagai tenaga pengajar.

Majlis turut menyaksikan anak-anak tahfiz memperdengarkan bacaan doa dan ayat suci al-Quran, mencerminkan hasil didikan dan komitmen institusi berkenaan dalam melahirkan generasi huffaz yang berilmu dan berakhlak.

Program berkenaan bukan sahaja mengeratkan silaturahim antara pihak pengurusan, penyumbang dan masyarakat setempat, malah menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan dalam membantu golongan yang memerlukan sepanjang Ramadan.
