Umno nasihatkan Rafizi, diam lebih baik

Umno menasihatkan Rafizi Ramli supaya berdiam diri sedikit buat sementara kerana itu yang lebih baik untuk beliau.

“Rafizi ni bercakap lagi ke? Kita dah nasihat Rafizi supaya diam sedikit, kan dah kena,” kata Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Noor Adam merujuk kepada serangan yang dihadapi Rafizi sekarang.

Menurut beliau, isu yang dimainkan oleh Rafizi dan beberapa pihak lain tentang saham berjumlah 17 juta unit milik Tan Sri Azam Baki tidak wajar disalah faham dan dibesarkan kerana nilainya hanya kira-kira RM800,000 sahaja.

Menurut Lokman, Rafizi tahu tentang kes yang beliau hadapi tetapi salahkan Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Katanya, setiap kali Azam Baki mahu disambung kontraknya, ada sahaja pihak yang membuat bantahan.

“Saya nak bagitahu Rafizi, kalaulah PMX layan orang komplen, misalnya pasal Invoke ke, penyalahgunaan dana ke, sebagai contoh, dia (PMX) suruh Rafizi letak jawatan atau cuti.

“Kalau semua orang yang kena fitnah ini disuruh letak jawatan, kakitangan awam ke, pentadbiran ke, apa nak jadi kepada negara,” tanya Lokman.

Lokman menjelaskan isu saham 17 juta unit milik Azam Baki.

“Saham ni jumlahnya 17 juta unit tetapi nilainya lebih dari RM800, 000 sahaja. Nilai unit sahaja 17 juta. Beliau bekerja lebih 40 tahun, dengan jawatan ‘Turus” sekarang.

“Takkan RM800,000 dia tak boleh kumpul. Pakai otaklah. Dia ni Ketua Pesuruhjaya SPRM, dengan jawatan Turus tahu, bukan Jusa A.

“Jangan melampau sangatlah kalau nak fitnah orang,” kata Lokman mengulas serangan terhadap Azam Baki yang dibawa oleh Rafizi.

Kata Lokman, tindakan SPRM terhadap pihak-pihak yang mempunyai kesalahan tanpa mengira ikan bilis atau ikan jerung telah menggusarkan banyak pihak.

“Tetapi nasib baiklah PMX bertegas, orang buat kerja takkan kita nak buang, betul tak,” kata Lokman yang juga Pengerusi Media Perpaduan dalam video klip yang disebarkan oleh beliau.

Sehubungan itu, Lokman berkata, semua pihak yang cuba mengganggu gugat kerja SPRM bersiap sedialah juga untuk diserbu.

“So, siapa-siapa yang rasa nak kena serbu tu bersiap sedia sebab percubaan anda untuk mengganggu gugat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah telah gagal,” katanya.

Bagi beliau, jawatankuasa khas penyiasatan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara terhadap kes Tan Sri Azam kini telah pun berjalan.

Menurut Lokman, Azam telah mengisytiharkan semua asetnya melalui sistem kerajaan, iaitu HRMIS (Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia), termasuk pemilikan saham tersebut.

“Saham beliau juga telah dilupuskan. Saya yakin bila jawatankuasa ini bersidang, semua benda akan disiasat,” katanya.

BACA JUGA PKR gantung semua jawatan Fahmi Zainol, hantar surat kepada KM Pulau Pinang