PRU 16 tahun ini jika serentak dengan PRN Melaka, Sarawak dan Johor
Parti Amanah Negara Kawasan Shah Alam (AMANAH Shah Alam) tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-16 akan diadakan lebih awal dan bersekali dengan Pilihan Raya Negeri Melaka, Sarawak dan Johor.
Sehubungan dengan itu, ketuanya, Azli Yusof berkata, AMANAH Shah Alam bertekad untuk mempertahankan kemenangan PH di Shah Alam pada PRU16, malah menyasarkan mandat yang lebih kukuh melalui pendekatan berstrategi, data-driven dan berteraskan khidmat kepada rakyat.
Bagi menghadapi sebarang kemungkinan, katanya, AMANAH Shah Alam telah menganjurkan Pemukiman Ahli Jawatankuasa Pimpinan Kawasan bersama Sayap Pemuda, Angkatan Wanita Amanah (AWAN), Wanita Muda (WARDA) serta ketua-ketua cawangan pada 28 Februari hingga 1 Mac 2026 di Batang Kali.
Ini bertujuan agar persiapan dan kerja-kerja menyantuni pengundi digerak dan dipertingkatkan dari sekarang dengan komitmen berterusan demi memastikan sokongan rakyat terus diperkukuh.
“Pemukiman dua hari ini memberi fokus kepada penelitian menyeluruh terhadap angka dan data pilihan raya lalu, termasuk pola pengundian mengikut saluran, demografi, lokaliti serta tren sokongan berdasarkan pusat daerah mengundi (PDM),” katanya.
Analisis tersebut turut mengenal pasti pemboleh ubah semasa yang berpotensi mempengaruhi kecenderungan pengundian, termasuk isu kos sara hidup, persepsi terhadap prestasi kerajaan, sentimen anak muda serta impak komunikasi digital.
Amanah Shah Alam turut mengambil kira dan akan menumpukan strategi meraih sokongan lebih 20,000 pengundi baharu pertama kali (first time voters) di kawasan ini, yang bersifat lebih bebas, tidak berpihak dan membuat penilaian berdasarkan isu serta tawaran masa depan.
Kelompok ini, katanya, menuntut pendekatan berbeza — lebih autentik, berfakta, dan dekat dengan realiti kehidupan mereka.
Sehubungan itu, pemukiman ini merangka strategi gerak kerja lebih awal dan tersusun bagi mendekati pengundi secara berfasa. Fokus diberikan kepada pengukuhan jentera di peringkat cawangan dan PDM, peluasan program komuniti, pengaktifan sukarelawan muda serta pemantapan naratif dasar dan pencapaian kerajaan Pakatan Harapan (PH), katanya.
Pertengahan Januari lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mengesahkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan pada tahun ini.
Beliau berkata, penggal pentadbiran Kerajaan Melaka sedia ada dijadualkan berakhir pada tahun ini, dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN.
“Memandangkan penggal pentadbiran Kerajaan Melaka berakhir tahun ini, PRN akan diadakan pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
PRN Melaka yang terakhir sebelum ini diadakan pada 20 November 2021.
BACA JUGA Umno nasihatkan Rafizi, diam lebih baik