Ketua Pemuda Amanah Wilayah seru pertahan nilai kemanusiaan sejagat dalam Solidariti Iran

FOTO BERITA: Himpunan Solidariti bersama Republik Islam Iran di depan Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 1hb Mac 2026 (Ahad)

Himpunan solidariti bersama Republik Islam Iran diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, malam tadi, sebagai tanda sokongan kepada rakyat Iran dan penentangan terhadap sebarang bentuk campur tangan asing serta kezaliman terhadap umat Islam.

Program itu disertai oleh aktivis-aktivis dari pelbagai lapisan masyarakat bangsa dan agama dan parti politik. Aktivis yang turut hadir termasuk Hishamuddin Rais, Tian Chua, Fayat, Sivarajan, Ibrahim Ali dan yang lainnya.

Diawal himpunan dimulai dengan solat hajat yang diimamkan oleh Syed Sheikh yang berhimpun secara aman di lokasi berkenaan. Himpunan tersebut turut disertai oleh penceramah dan wakil pertubuhan yang menyampaikan mesej solidariti kepada rakyat Iran dan umat Islam sejagat, khususnya mereka yang mengalami penderitaan akibat konflik dan kezaliman.

Dalam ucapan Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan saudara Muhammad Faris Arriffin menyeru semua yang hadir agar berdiri bersama demi nilai kemanusiaan sejagat. Menurut beliau, kehadiran mereka adalah sebagai solidariti kepada darah yang tumpah serta air mata ibu bapa dan kanak-kanak yang menderita akibat kezaliman zionis serta tindakan agresif kuasa luar terhadap negara lain.

Beliau menyatakan solidariti terhadap rakyat Iran dan semua manusia yang dizalimi, tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang; serta menyeru penentangan terhadap sebarang bentuk penindasan serta kekejaman terhadap rakyat awam.

“Kami menolak sebarang campur tangan dari luar dalam urusan negara lain, termasuk usaha untuk menukar pemerintahan di negara berdaulat. Beliau menegaskan bahawa rakyat sesuatu negara harus diberikan hak untuk menentukan nasib dan pilihan mereka sendiri tanpa pengaruh atau tekanan luar” katanya

Dalam ucapannya, beliau juga menekankan bahawa Malaysia sendiri telah beberapa kali mengutuk tindakan luar yang mencabuli kedaulatan negara lain, termasuk di Palestin, dan bahawa Iran selama ini keras menentang kezaliman zionis serta imperialisme yang disokong sesetengah negara kuasa besar. Solidariti seperti ini dilihat penting untuk mengekalkan prinsip keadilan serta keamanan sejagat.

Sementara itu Presiden SEJAGAT, Syed Sheikh Al Attas Syed Hassan, dalam ucapannya, beliau mempersoalkan mengapa Republik Islam Iran terus menjadi sasaran tekanan antarabangsa, khususnya oleh Amerika Syarikat dan Israel. Menurutnya, Iran sejak 1979 dibangunkan atas semangat kebangkitan dan penentangan terhadap dominasi kuasa luar.

Beliau menegaskan bahawa perjuangan Iran didasari prinsip mempertahankan maruah dan kedaulatan negara serta solidariti terhadap golongan yang tertindas di rantau Asia Barat. Dalam konteks itu, beliau menyatakan bahawa Iran dilihat sebagai antara negara yang lantang menyuarakan sokongan terhadap perjuangan Palestin dan kumpulan-kumpulan yang menentang penindasan di rantau berkenaan.

Presiden SEJAGAT itu turut menyeru rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang agama atau kaum, supaya terus peka terhadap isu kemanusiaan sejagat dan menolak sebarang bentuk penindasan serta campur tangan asing terhadap negara berdaulat.

Beliau mengakhiri ucapan dengan keyakinan bahawa perjuangan membebaskan Palestin dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa akan diteruskan, sambil menggesa hadirin untuk kekal istiqamah dalam menyuarakan solidariti terhadap mana-mana bangsa yang dizalimi.

Himpunan Solidariti bersama Iran diakhiri dengan membaca doa wehdah oleh ustaz Kamil Zuhairi dalam suasana penuh semangat dengan pelbagai laungan solidariti daripada peserta sebelum bersurai secara aman.