AGC putuskan pemuda pijak al-Quran dihadapkan ke mahkamah esok, 2 hukuman berat menanti
Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk mendakwa seorang pemuda susulan insiden memijak al-Quran di Kuantan, Pahang yang tular di media sosial menerusi aplikasi Threads sebelum ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, AGC memaklumkan pihaknya telah meneliti secara menyeluruh kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes melibatkan individu dikenali sebagai Vikneswaran a/l Selvanathan.
Menurut AGC, hasil penelitian mendapati terdapat keterangan mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap individu terbabit.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan memutuskan untuk mengemukakan dua pertuduhan terhadap tertuduh.
Pertama, di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan objek yang dianggap suci oleh penganut agama Islam dengan memijak al-Quran, yang dilakukan dengan pengetahuan bahawa perbuatan tersebut merupakan suatu penghinaan terhadap agama.
Kedua, tertuduh turut akan didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat serta memulakan hantaran komunikasi bersifat jelik melampau dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui platform Threads.
“Kedua-dua pertuduhan tersebut akan dikemukakan di Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa pada 3 Mac 2026.
“Seksyen 295 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga dua (2) tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali manakala seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000.00 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan AGC itu lagi.
Pada 25 Februari lalu, Vikneswaran, 21, ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dengan memijak al-Quran.
Setakat 28 Februari lalu, sebanyak 28 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes membabitkan penuntut Universiti Malaysia Pahang, Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu.
Reman terhadap tertuduh yang tamat pada 28 Februari lalu disambung hingga esok selepas arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya bagi melengkapkan siasatan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap insiden penghinaan agama Islam, termasuk perbuatan memijak al-Quran.
“Apabila ada laporan mengenai penghinaan atau perbuatan memijak al-Quran, siapa kata tiada tindakan? Ada tindakan. Jangan bersikap tergopoh-gapah dan tidak sabar,” tegasnya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Pemimpin Masyarakat Tempatan bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan MADANI tidak akan sesekali membenarkan mana-mana pihak menghina al-Quran di negara ini dalam apa jua bentuk.
Menurutnya, siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dijalankan dan masyarakat diingatkan supaya bersabar serta tidak tergesa-gesa menunggu keputusan.
“Ini negara hukum. Kita tidak boleh mengetepikan prinsip undang-undang dalam sebarang tindakan.
“Islam ialah agama Persekutuan dan kita tidak boleh memandang ringan sebarang bentuk penghinaan, bukan sahaja terhadap Islam tetapi juga terhadap agama lain di negara ini, demi mengekalkan keharmonian,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Melenting PM sebut ‘melalak’, ini penjelasan buat kaki ‘spin’