Anwar dah usahakan had tempoh jawatan PM, pembangkang langsung tak sokong
Pembangkang terbukti tidak menyokong reformasi untuk mengehadkan tempoh maksimum 10 tahun jawatan Perdana Menteri apabila Dewan Rakyat hari ini gagal meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi tujuan tersebut.
RUU itu gagal meraih sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.
Keputusan undi belah bahagian itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas ia dibahaskan oleh seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Kelulusan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan Ahli Parlimen.
Ia sekali gus menyaksikan RUU yang pertama kali dibentang, membabitkan pindaan kepada Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan gagal dibawa untuk bacaan kali ketiga sebelum diluluskan.
RUU yang diusahakan kerajaan MADANI itu dibentang bagi bacaan kali pertama pada minggu lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Bacaan kali kedua pula dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, diikuti sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen.
Kegagalan Dewan Rakyat untuk meluluskan RUU berkenaan sekaligus menyaksikan pembangkang tidak menyokong reformasi untuk mengehadkan tempoh maksimum Perdana Menteri 10 tahun.
Bagaimanapun, usul pindaan tersebut boleh dibawa semula dalam mana-mana sidang yang akan datang.
Ini bermakna selagi pindaan tersebut tidak diluluskan, Perdana Menteri boleh terus berkhidmat tanpa had tempoh masa.
BACA JUGA AGC putuskan pemuda pijak al-Quran dihadapkan ke mahkamah esok, 2 hukuman berat menanti