Perang Asia Barat: Apa nasib ribuan pelajar Malaysia?

Kesemua 1,936 pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Asia Barat dilaporkan selamat ketika beberapa negara terjejas susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, pihak kementerian dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri sentiasa memantau keadaan dari semasa ke semasa, dan setakat ini tiada pelajar dilaporkan terjejas.

Jelasnya, berdasarkan rekod pendaftaran semasa, majoriti pelajar berada di Jordan, iaitu 1,762 orang, diikuti Arab Saudi (135), Emiriah Arab Bersatu (21), Kuwait (sembilan), Iran (enam) dan Qatar (tiga).

“Sehingga kini, kita tidak mendapat sebarang laporan mengenai keadaan yang membimbangkan dan setakat ini juga, belum ada sebarang permintaan daripada pelajar untuk dibawa pulang ke tanah air.

“Pihak Education Malaysia (EM) yang berpusat di Dubai dan Jordan sentiasa memantau seluruh negara-negara Arab ini dan melaporkan status keberadaan pelajar kita dengan sebaik-baiknya,” katanya, dipetik Bernama.

Zambry berkata demikian pada sidang media pada Majlis Iftar Mahabbah IPTA Kelantan@UMK 2026 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok hari ini.

Namun, beliau menggesa mana-mana pelajar Malaysia di negara Arab yang melanjutkan pengajian secara persendirian, dan belum mendaftar dengan pihak kedutaan atau EM supaya tampil berbuat demikian dengan segera.

Tegasnya, langkah tersebut bagi memudahkan pihak kerajaan menyusun pelan tindakan menyelamat jika keadaan bertambah kritikal.

BACA JUGA Anwar dah usahakan had tempoh jawatan PM, pembangkang langsung tak sokong