KPN nasihat orang ramai jangan komen melampau isu agama, kaum
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menasihatkan orang ramai tidak memberikan komen melampau yang menyentuh isu sensitif berkaitan agama dan kaum di media sosial.
Beliau berkata, ini bagi mengelakkan salah faham selain memastikan media sosial tidak digunakan untuk mencetuskan provokasi sehingga menjejaskan keharmonian negara.
“Masyarakat dinasihatkan supaya merujuk kepada sumber sahih dan dokumen rasmi sebelum membuat sebarang kenyataan bagi mengelakkan salah faham.
“Kita mahu suasana aman dan tenteram ini diteruskan, terutamanya ketika menghampiri musim perayaan,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa PDRM bersama Menteri Dalam Negeri semalam, menurut Bernama.
Beliau mengulas mengenai kecaman dalam media sosial selepas tindakan seorang penuntut universiti awam memuat naik hantaran menghina dan mencemarkan al-Quran pada platform Threads baru-baru ini.
Terdahulu, beliau mengesahkan pelajar berkenaan akan dihadapkan ke Mahkamah Kuantan di Pahang, pagi ini.
Mohd Khalid berkata, Peguam Negara (AG) telah memberikan keizinan untuk menuduh suspek selepas penelitian mendapati bukti mencukupi bagi memulakan prosiding undang-undang.