Peluang hadkan jawatan PM dah ada tapi pembangkang tolak reformasi

OLEH WAN ANWAR WAN IBRAHIM

Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal adalah satu reformasi besar yang bertujuan memodenkan sistem politik negara serta memperkukuh prinsip semak dan imbang. 

Namun, kegagalan Rang Undang-Undang tersebut memperoleh majoriti dua pertiga mendedahkan satu realiti yang jelas iaitu wujudnya sikap tidak konsisten dalam kalangan pembangkang yang menghalang kemajuan reformasi institusi.

Selama ini, pembangkang lantang bercakap mengenai keperluan pembaharuan, integriti dan pencegahan penumpuan kuasa. 

Namun apabila peluang sebenar untuk mengehadkan kuasa eksekutif dibentangkan di Parlimen, sebahagian mereka memilih untuk berkecuali, tidak hadir atau meletakkan syarat politik yang tidak berkaitan dengan pindaan tersebut. 

Ini bukan pendirian prinsip malah ini adalah percaturan politik.

Dakwaan bahawa had dua penggal menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah hujah yang mengelirukan. 

Kuasa melantik Perdana Menteri kekal di bawah prerogatif Seri Paduka Baginda, manakala sokongan majoriti Dewan Rakyat tetap menjadi asas legitimasi kerajaan. 

Had tempoh hanya memastikan jawatan tertinggi eksekutif tidak dipegang tanpa batas masa yang mana selaras dengan amalan demokrasi matang di banyak negara.

Lebih ironik, ada pihak yang sebelum ini menggesa reformasi institusi dan mengehadkan tempoh jawatan, tetapi kini menukar pendirian apabila cadangan tersebut dibentangkan oleh kerajaan semasa. 

Sikap tidak konsisten ini menimbulkan persoalan sama ada mereka benar-benar komited terhadap reformasi, atau sekadar menggunakan isu pembaharuan sebagai retorik politik.

Reformasi memerlukan keberanian dan kejujuran. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan kesediaan untuk membataskan kuasa jawatan yang sedang beliau pegang yakni satu langkah yang jarang berlaku dalam politik negara.

Ini adalah mesej jelas bahawa sistem perlu lebih kuat daripada individu.

Malaysia tidak boleh terus terperangkap dalam politik lama yang mempertahankan struktur usang demi kepentingan jangka pendek. 

Negara memerlukan sistem politik yang lebih telus, bertanggungjawab dan dinamik. 

Menghalang reformasi bermakna mengekalkan sistem yang membenarkan penumpuan kuasa tanpa had dan itu bukan masa depan yang rakyat mahukan.

Sejarah akan mencatat siapa yang benar-benar berjuang untuk memodenkan demokrasi negara, dan siapa yang memilih untuk mengekalkan status quo.