Tak pernah lantik bukan Islam di pejabat Exco Agama, Fahmi bagi 24 jam turunkan infografik palsu

Satu infografik palsu yang mendakwa seorang pemuda bukan Islam kononnya dilantik sebagai setiausaha kanan di pejabat Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, adalah palsu dan tidak benar.

Exco Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, infografik berkenaan telah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau memberi amaran keras kepada pemilik akaun media sosial supaya menurunkan segera infografik palsu yang tular, atau berdepan tindakan undang-undang dalam tempoh 24 jam.

“Kalau tidak (diturunkan), saya tidak akan teragak untuk membuat laporan polis dan tindakan undang-undang ke atas pemilik akaun yang kami telah kenalpasti,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuatnaik di media sosial rasmi beliau.

Menurut Fahmi, isu tersebut telah tersebar keluar dan pihak Mahasiswa Keadilan Malaysia sendiri sudah mengeluarkan kenyataan menafikan perkara itu dan memaklumkan ia sudah disunting, tidak benar dan bukan daripada mereka.

“Hantaran palsu ini tentunya bersifat fitnah, tidak benar dan berniat jahat. 

“Suka saya tegaskan di sini sebagai penerangan kepada semua bahawa di pejabat saya, tidak pernah ada pegawai yang bukan Islam atau bukan Melayu yang bertugas sehingga ke hari ini.

“Kami juga tidak berhasrat untuk membuat lantikan sebegitu,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak terjebak menyebarkan maklumat tidak sahih, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.

Sambil memetik maksud Surah Al-Baqarah ayat 191 bahawa fitnah lebih besar bahayanya daripada membunuh, beliau menyeru masyarakat menggunakan Ramadan untuk memperbanyakkan amalan baik dan menghentikan penyebaran fitnah.