RUU pemisahan Peguam Negara dan Pendakwaraya diserah kepada JK Pilihan Khas Parlimen

Rang Undang-undang untuk memisahkan kuasa dan peranan Peguam Negara dan Pendakwaraya diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dipengerusikan oleh Menteri Undang-undang, Datuk Sri Azalina Othman Said.

Jawatankuasa pelbagai parti ini diberikan tempoh tiga bulan untuk meneliti Rang Undang-undang yang telah disediakan, namun boleh membuat permohonan untuk dilanjutkan jika perlu.

Selain Azalina, anggota jawatankuasa ini adalah William Leong (PKR-Selayang), Syahrezan Johan (DAP-Bangi), Adly Zahary (AMANAH – Alor Gajah), Noraini Ahmad (Umno- Parit Sulong), Roy Angau (Lubok Antu), Lo Su Fui (Tawau), Ramkarpal (DAP-Bukit Gelugor), Hamzah Zainudin (Bebas – Larut), Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu), Ronald Kiandee (Bersatu-Beluran) dan Syed Saddiq (Muda-Muar).

Jawatankuasa ini boleh menjemput mana-mana pihak untuk hadir dalam persidangan Jawatankuasa Pilihan Khas dari masa ke semasa, kata satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

“Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas akan menyediakan satu penyata mengandungi cadangan pindaan terhadap RUU itu dalam tempoh tiga bulan.

“Jawatankuasa Pilihan Khas boleh sekiranya perlu melanjutkan tempoh berkenaan,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

Usul untuk merujuk RUU ini kepada JK Pilihan Raya dibentangkan oleh Azalina selepas membuat bacaan kali kedua namun perbahasan dibatalkan dengan cadangan ia diserahkan kepada JK Pilihan Khas ini.

Bacaan kali pertama RUU berkenaan dibentangkan pada 23 Februari lalu.

BACA JUGA Tak pernah lantik bukan Islam di pejabat Exco Agama, Fahmi bagi 24 jam turunkan infografik palsu