Kerjasama Embassy of the People’s Republic of China in Malaysia dan GPM Malaysia perkukuh diplomasi kemanusiaan Ramadan

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Grand Iftar For Humanity 2026 telah disempurnakan oleh Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dalam satu acara penuh bermakna yang berlangsung di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor. 3hb Mac 2026 (Selasa)

Program anjuran Global Peace Mission Malaysia (GPM Malaysia) itu diadakan dengan kerjasama Embassy of the People’s Republic of China in Malaysia, menjadikannya simbol kerjasama kemanusiaan dan diplomasi antara Malaysia dan China yang berteraskan nilai rahmah dan ihsan.

Program anjuran Global Peace Mission Malaysia (GPM Malaysia) itu diadakan dengan kerjasama Embassy of the People’s Republic of China in Malaysia, menjadikannya simbol kerjasama kemanusiaan dan diplomasi antara Malaysia dan China yang berteraskan nilai rahmah dan ihsan.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Senator Puan Marhamah Rosli (Hal Ehwal Agama) Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing, ADUN Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM YBrs. Dr. Mohamad Kori Jusoh, Yang Di-Pertua YADIM Datuk Dr. Hasan Bahrom, Naib Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin , barisan pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), diplomat asing, serta pemimpin masyarakat setempat.

Dalam ucapannya, Zulkifli menzahirkan rasa syukur atas kesempatan berhimpun di institusi pengajian al-Quran yang menjadi lambang kecemerlangan ilmu dan pembangunan rohani. Beliau menyifatkan penganjuran majlis berbuka puasa tersebut sebagai gabungan tiga elemen penting iaitu spiritualiti, kebajikan dan diplomasi.

“Di sini kita berhimpun bukan sekadar sebagai pemimpin dan rakyat, tetapi sebagai satu keluarga besar yang disatukan oleh ukhuwah Islamiah dan nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran kira-kira 300 asnaf sekitar Kuala Kubu Baharu, lebih 250 pelajar serta lebih 100 kakitangan Darul Quran bersama lebih 1,000 tetamu keseluruhannya membuktikan bahawa semangat perkongsian rezeki dan kasih sayang melangkaui sempadan bangsa dan negara.

Menurut beliau, Islam menekankan nilai rahmah sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Ar-Rahimun yarhamuhum Ar-Rahman, irhamu man fil ardh yarhamkum man fis sama’” yang bermaksud, golongan yang mengasihi akan dikasihi oleh Allah SWT; kasihilah mereka di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh yang di langit.

Zulkifli turut menyentuh mengenai titik persamaan nilai kemanusiaan antara Islam dan ajaran Konfusianisme yang menekankan kasih sayang serta keharmonian sesama manusia, sebagaimana dinyatakan oleh Duta Besar China dalam ucapannya sebelum itu.

Beliau menegaskan bahawa gagasan Malaysia MADANI yang digerakkan kerajaan memberi penekanan kepada tadbir urus berteraskan nilai spiritual, intelektual, etika dan ihsan, selari dengan prinsip Islam yang mengangkat keadilan dan rahmah sebagai asas pembinaan negara.

Mengulas kepentingan program seumpama itu, beliau berkata saat berbuka puasa menjadi simbol kesaksamaan apabila semua hadirin duduk bersama menikmati kurma dan air tanpa mengira kedudukan atau latar belakang.

“Di atas sejadah yang sama, kita semua hanyalah hamba Allah yang lapar dan dahaga. Inilah keindahan Islam dan asas kepada masyarakat MADANI yang berteraskan rahmah dan ihsan,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, Kedutaan China serta pengurusan Darul Quran JAKIM atas komitmen menjayakan program tersebut.

Majlis diakhiri dengan lafaz perasmian oleh Zulkifli sebelum para tetamu bersama-sama berbuka puasa dalam suasana penuh harmoni dan persaudaraan, mencerminkan semangat perpaduan serta solidariti kemanusiaan sempena Ramadan al-Mubarak.