Jalan sesak, masuk hospital, upacara sembahyang antara alasan 8 MP kerajaan

Pelbagai alasan dikemukakan oleh lapan Ahli Parlimen yang tidak hadir ketika pengundian Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun di Dewan Rakyat, kelmarin.

Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata, semakan sudah dibuat dengan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan juga Pejabat Ketua Whip mengenai lapan Ahli Parlimen terbabit.

“Dari blok PH, 100 peratus hadir. Semua hadir dan semua mengundi.

“Setiap dari mereka bila ditanya kenapa tidak berada di situ (Dewan Rakyat) ada yang memberikan pelbagai alasan,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika sidang media selepas perasmian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), semalam.

Beliau memberitahu Ahli Parlimen Libaran tidak dapat menghadiri sidang Dewan Rakyat kerana dimasukkan ke hospital.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan juga tidak hadir kerana perlu menghadiri upacara keagamaan.

“Saya difahamkan Ahli Parlimen Libaran berada di hospital, manakala Ahli Parlimen Tapah memaklumkan bahawa beliau menghadiri upacara sembahyang,” katanya.

Daripada lapan Ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir itu, tiga daripada Barisan Nasional (BN), manakala masing-masing seorang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta dua Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan.

Lapan Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan tetapi tidak hadir dalam sesi itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Henry Sum Agong (Lawas), Riduan Rubin (Tenom), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Suhaimi Nasir (Libaran), Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Larry Soon (Julau) dan Datuk Seri Dr Jeffrey@ Kitingan (Keningau).

Kelmarin, kurang hanya dua Ahli Parlimen lagi untuk memperoleh sokongan dua pertiga iaitu 148, mengakibatkan Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.

Sementara itu, 32 Ahli Parlimen tidak hadir manakala 44 Ahli Parlimen berkecuali.

Keputusan undi belah bahagian itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas ia dibahaskan oleh seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

BACA JUGA Persempadanan pilihan raya: Langkah penting pulih kesaksamaan