Selepas terima surat dari Fuziah, ini status Fahmi dalam kerajaan Pulau Pinang

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol digugurkan daripada barisan Exco.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima surat daripada Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh yang memohon Fahmi digugurkan daripada barisan Exco kerajaan negeri.

Chow berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak pagi tadi bagi memaklumkan keputusan itu.

Menurutnya, Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang berusia 35 tahun berkenaan menerima keputusan kerajaan negeri itu.

Dalam masa sama, Chow memaklumkan akan mengemukakan cadangan pengganti Fahmi kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang petang ini.

Pada 1 Mac lalu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan untuk menggantung semua jawatan parti yang disandang Fahmi berkuat kuasa serta-merta.

Penggantungan jawatan parti itu akan terus berkuat kuasa sehingga kes mahkamah membabitkan bekas pemimpin mahasiswa Universiti Malaya (UM) berkenaan diputuskan.

Fahmi pada 27 Februari lepas, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya, minggu lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April depan untuk sebutan semula kes.

BACA JUGA Siasatan projek RM1.1 bilion: SPRM cari bekas pegawai Rafizi