PN: Pengerusi tanpa prestasi, presiden tanpa arah, jeneral tanpa bala tentera

Pelantikan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dikatakan sebagai fasa penstrukturan semula. 

Namun semakin banyak kenyataan dikeluarkan, semakin jelas bahawa ia lebih mirip langkah kecemasan daripada strategi kebangkitan.

Apabila Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sendiri menegaskan bahawa tiada perbincangan mengenai calon Perdana Menteri atau “poster boy”, mesejnya bukan menenangkan — tetapi membingungkan. 

Dalam politik moden, pengerusi gabungan yang tidak secara automatik dilihat sebagai calon utama hanya membawa satu tafsiran: beliau belum diyakini sepenuhnya.

Dan di sinilah persoalan paling mendasar muncul.

Samsuri: Dengan Rekod Apa Untuk Diangkat?

Jika benar Samsuri mahu diposisikan sebagai calon Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya wajah utama PN, maka rekod pentadbiran negeri yang dipimpinnya wajar menjadi rujukan.

Sebagai Menteri Besar Terengganu, apakah lonjakan ekonomi luar biasa yang boleh dijadikan bukti keupayaan beliau mengurus negara?

Di mana diversifikasi ekonomi negeri yang ketara?

Apakah pelaburan berimpak tinggi yang berjaya ditarik masuk secara konsisten?

Berapa banyak industri bernilai tambah tinggi diwujudkan?

Apakah kedudukan fiskal negeri benar-benar kukuh tanpa kebergantungan berlebihan kepada pusat?

Hakikatnya, Terengganu masih bergantung kuat kepada royalti petroleum dan pemindahan fiskal daripada kerajaan persekutuan. 

Naratif berdikari yang sering dilaungkan tidak disokong oleh transformasi struktur ekonomi yang nyata.

Mana pelabur strategik bertaraf global yang benar-benar menjadikan Terengganu hab industri baharu? Mana projek mega yang membuka rantaian nilai dan pekerjaan berkemahiran tinggi secara mampan?

Jika negeri sendiri masih memerlukan bantuan luar jangka daripada pusat untuk menstabilkan kedudukan fiskal, bagaimana pula mahu meyakinkan rakyat bahawa kepimpinan yang sama mampu mengurus ekonomi negara yang jauh lebih kompleks?

Pengerusi “Selamat”, Bukan Pengerusi Terkuat

Pelantikan Samsuri kelihatan seperti kompromi dalaman: tidak terlalu kontroversi, tidak terlalu dominan, dan tidak terlalu mencabar hierarki lama.

Tetapi politik nasional bukan medan eksperimen untuk kepimpinan yang “selamat”. Ia menuntut keberanian visi dan rekod prestasi yang boleh diukur.

Apabila pengerusi sendiri tidak diangkat sebagai calon perdana menteri secara jelas, itu menandakan PN sendiri belum pasti dengan naratif yang mahu dibawa. 

Malah dalam dunia akademik beliau bukanlah seorang bekas profesor dan hanya mengangkat dirinya sendiri sebagai pakar aeroangkasa sedang ahli akademik terawal lebih mengetahui duduk tegaknya diri beliau dalam dunia akademik.

Mahiaddin: Melepaskan Jawatan, Tidak Melepaskan Pengaruh

Mahiaddin mungkin telah berundur daripada jawatan pengerusi, tetapi bayang pengaruhnya masih tebal. 

Kenyataan beliau bahawa tiada sesiapa diberi mandat untuk rundingan tertentu menunjukkan kawalan pusat masih kuat dan kenyataan beliau mengenai tidak ada perbincangan mengenai calon perdana menteri membuktikan Mahiaddin masih merupakan otai politik yang masih berbisa.

Namun kawalan yang terlalu defensif juga mencerminkan keresahan. Jika struktur kukuh, tidak perlu penafian berulang.

Sindrom “tidak pernah reda” selepas kehilangan kuasa masih jelas. Setiap langkah PN kelihatan reaktif, bukan strategik.

Hamzah: Wala’ Selepas Dipecat?

Kemelut melibatkan Hamzah Zainudin pula menambahkan kekeliruan. 

Selepas dipecat, beliau dan penyokong menyatakan wala’ kepada Pas — satu ironi politik yang sukar difahami secara prinsip. 

Bukan anggota komponen PN, keahlian Bersatu telah dilondehkan tetapi masih berada di kerusi ketua pembangkang dan bersama dengan PN. 

Dalam masa sama, timbul cerita rundingan dengan Ahmad Zahid Hamidi sebelum pemecatan — Mahiaddin membangkitkan perkara ini sedangkan menurut beliau tiada sama sekali mandat diberikan untuk berunding dengan Ahmad Zahid atau UMNO atau BN. 

Sama ada benar atau tidak, persepsi bahawa wujud percaturan sulit sudah cukup untuk menghakis kredibiliti gabungan. 

Ahmad Zahid belum mengiya atau menidakkan kenyataan Mahiaddin terkait rundingn sulit bersama Hamzah yang menjadi punca utam pemecatan Hamzah. 

Atau adakah Ahmad Zahid terlupa pengkiatan Hamzah terhadap UMNO dan BN.

Apabila kepimpinan kanan bergerak tanpa mandat jelas, disiplin organisasi kelihatan longgar. Dan apabila disiplin longgar, keyakinan awam merosot. 

Malah ini menunjukan masih-masing sedang berusaha untuk mengangkat diri.

PN: Alternatif Kerajaan atau Arena Perebutan?

Gabungan yang mahu memerintah perlu menunjukkan: Rekod pentadbiran yang boleh dibanggakan. Kepimpinan yang diyakini tanpa ragu. Struktur dalaman yang stabil dan tidak bercelaru.

Hari ini, PN masih bergelut pada ketiga-tiganya.

Samsuri belum membuktikan kehebatan pentadbiran ekonomi negeri sehingga layak diangkat sebagai wajah nasional. 

Di parlimen pun jarang beliau kelihatan berhujat atau mengemukan hujah. 

Beliau bukanlah sosok kepimpinan nasional yang terserlah, malah lebih kepada oportunis politik yang bergayut pada janggut dan serban Haji Hadi

Mahiaddin pula sedang masih terperangkap dalam naratif mempertahankan diri.

Hamzah pula bergerak dalam zon kelabu politik tanpa rumah yang jelas atau sedang mencari rumah dan mungkin rumah itu rumah setinggan. Tuan Ibrahim Timbalan Presiden Pas pula entah ke mana!

Jika negeri yang dipimpin belum menampilkan lonjakan fiskal dan pelaburan yang meyakinkan, bagaimana mahu menjual impian mengurus ekonomi Malaysia?

Rakyat tidak menilai berdasarkan retorik atau slogan. Mereka melihat angka, peluang pekerjaan, pelaburan sebenar, dan kestabilan fiskal.

Buat masa ini, PN lebih menyerlah sebagai gabungan yang sibuk mengurus konflik dalaman berbanding membina alternatif nasional yang kukuh. 

Kabarnya kerjaan Perlis yang baru dipimpin oleh Bersatu tanpa Pas terlibat menganggotai Exco kerajaan negeri dan khabarnya ada usaha untuk meruntuhkan kerajaan melalui untuk tidak percaya dalam sidang DUN Perlis akan datang ini.

Dan dalam politik, kekosongan arah lebih berbahaya daripada kekalahan sementara.

BACA JUGA “Keep it up MADANI”, Malaysian man praises government after paying only RM7.15 for groceries