Pertukaran rejim di Iran bukan jalan penyelesaian, kata MP DAP
Cadangan pertukaran regim di Iran melalui perang sekarang bukan jalan penyelesaian kerana ia hanya akan mengulangi sejarah lama yang boleh membawa lebih kerosakan, kata Ahli Parlimen DAP, Howard Lee.
Katanya, sejarah moden telah berkali kali menunjukkan bahawa pendekatan ini sering membawa lebih banyak kemusnahan daripada penyelesaian.
Seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur itu, “regime change has never been a solution. It only exacerbates wars.”
Terjemahan mudahnya ialah pertukaran rejim bukan pernah menjadi penyelesaian, sebaliknya hanya memburukkan lagi peperangan.

Pandangan tersebut disuarakan beliau ketika perbahasan usul tergempar di Parlimen yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mengecam serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran.
Dalam ucapannya, Howard Lee menegaskan bahawa tindakan ketenteraan yang bertujuan menumbangkan sesebuah kerajaan melalui campur tangan luar sering mengulangi pola sejarah yang sama, iaitu menghancurkan struktur negara tanpa menjamin keamanan jangka panjang.
Pengalaman daripada beberapa konflik besar dunia memberikan gambaran jelas tentang kesan strategi tersebut.
Campur tangan ketenteraan yang bertujuan menukar rejim lazimnya meruntuhkan institusi negara yang sedia ada termasuk sistem keselamatan, pentadbiran awam dan kestabilan ekonomi.
Apabila struktur ini runtuh, kekosongan kuasa yang tercipta sering membuka ruang kepada konflik dalaman, perebutan kuasa serta ketidakstabilan yang berpanjangan.
Kesan daripada situasi ini tidak terhad kepada negara yang terlibat secara langsung sahaja.
Negara-negara jiran dan rantau sekitarnya turut merasai tempiasnya melalui krisis pelarian, gangguan ekonomi, peningkatan ekstremisme serta ketegangan geopolitik yang semakin kompleks.
Dalam banyak keadaan, usaha membina semula negara selepas kejatuhan rejim mengambil masa bertahun-tahun malah boleh berlarutan sehingga beberapa dekad.
Perkembangan terkini yang melibatkan Iran menimbulkan kebimbangan bahawa dunia mungkin sekali lagi menyaksikan pengulangan corak yang sama.
Ketegangan yang semakin meningkat bukan sahaja berpotensi mencetuskan konflik berskala lebih besar, malah boleh mengheret lebih banyak negara ke dalam lingkaran krisis geopolitik yang sukar diramal.
Hakikatnya, kenyataan bahawa pertukaran rejim melalui kekuatan ketenteraan jarang membawa keamanan yang berkekalan bukan sekadar retorik politik.
Ia merupakan kesimpulan yang lahir daripada pengalaman panjang sejarah konflik antarabangsa.
Jika ada satu pengajaran penting daripada sejarah tersebut, kestabilan politik tidak boleh dipaksakan dari luar melalui kekuatan senjata.
Keamanan yang benar-benar berkekalan hanya boleh dicapai melalui diplomasi, dialog serta penghormatan terhadap kedaulatan sesebuah negara.
BACA JUGA 650 askar Amerika mati, cedera pada 2 hari pertama perang, dakwa Iran