Selepas AMANAH umum tanding kerusi Puteri Wangsa, ini penegasan Pemuda PKR

Ketua Pemuda PKR Johor, Faezuddin Puad menegaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa tidak harus dilihat sebagai milik mutlak mana-mana parti.

Menurutnya, soal pembahagian kerusi perlu ditentukan secara rasional dengan mengambil kira kekuatan jentera, gerak kerja di lapangan dan kebolehan memenangi hati pengundi.

Katanya, semua pihak juga perlu mengakui pengundi semakin bijak menilai dan tahu membezakan pihak konsisten berkhidmat dengan mereka yang hanya muncul apabila pilihan raya semakin hampir.

“Sekiranya perkara ini tidak diambil kira dengan serius dan diurus dengan cermat, kita bimbang berlaku penolakan terhadap calon atau parti yang dilihat sebagai ‘payung terjun’ dan tidak berakar di kawasan,” katanya dalam kenyataan.

Faezuddin mengulas pengumuman Naib Pengerusi AMANAH Johor, Dr Zuhan Zain bahawa parti itu akan mengambil semula kerusi DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini ‘dipinjamkan’ kepada Muda.

Keputusan AMANAH itu, kata Zuhan, susulan tindakan Muda menarik sokongan terhadap kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zuhan berkata, tiada rundingan politik sedang atau akan diadakan bersama Muda seperti pernah berlaku sebelum PRN Johor pada 2022.

DUN Puteri Wangsa yang terletak di bawah Parlimen Tebrau kini disandang Muda menerusi Amira Aisya Abdul Aziz yang memenangi kerusi N.41 itu dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru pada 2022.

Pada 10 September 2023, Muda memaklumkan bertindak sebagai pembangkang kuasa ketiga sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan.

BACA JUGA Yang pasti Mahiaddin juga bukan calon PM, kata Samsuri