Rahim Tamby Chik anggap Bersatu ‘ala mafia’, sentiasa ‘pilih bulu’

Bersatu dilihat semakin cenderung kepada pendekatan `ala mafia’ dan sentiasa pilih bulu, tegas bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik.

Menurut mantan Ketua Menteri Melaka itu, pentadbiran Bersatu tidak lagi berlandaskan prinsip perjuangan asal, sebaliknya dicorakkan dengan pendekatan pilih kasih dan berkepentingan.

Rahim yang telah lapan tahun menyertai Bersatu berkata, beliau menyaksikan sendiri bagaimana keputusan tertentu dibuat bukan berasaskan merit tetapi dipengaruhi faktor tertentu yang menjejaskan integriti organisasi.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosialnya hari ini, bekas Ketua Bersatu Alor Gajah itu berkata, keadaan tersebut secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada keyakinan ahli serta penyokong terhadap hala tuju parti.

Untuk rekod, Rahim pada 24 Februari lalu melepaskan jawatan Ketua Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta dikuti semua kepemimpinan Bersatu di lima daripada enam bahagian di Melaka, termasuk pemimpin cawangan serta sayap parti.

Mengulas lanjut, Rahim, 76, turut menyifatkan masa depan Bersatu yang sebelum ini dilihat ‘putih’ dan penuh harapan sekarang bertukar kelabu’ ekoran pelbagai isu dalaman yang tidak ditangani secara tuntas.

BACA JUGA ‘Suarakan pandangan, ucap takziah pun boleh dikira dengan jari’