Pemimpin politik sendiri usah jadi ‘tumor’ perpecahan Melayu
Oleh ZAMIR GHAZALI
Ini adalah ulasan saya mewakili Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam sesi Musyawarah Isu Islam Melayu Bumiputera di Menara Dato Onn, WTC semalam.

Dalam bicara penyatuan Melayu, kita sepatutnya bermula dengan soalan yang betul dan waras.
Apakah benar Melayu tidak bersatu? Secara fikrahnya, orang Melayu itu bersatu atau tidak?
Jawab jujur ialah masyarakat Melayu hakikinya memang bersatu. Orang Melayu tidak berkabilah seperti bangsa Arab.
Tidak pernah hidup orang Melayu itu bertempur dan bermusuh. Tidak berlaku orang Terengganu berkelahi sentiasa dengan orang Johor.
Orang Kelantan bertetak dengan orang Selangor. Asal jumpa maka ada bertumpah darah. Tiada senario ini di Tanah Melayu. Maka fikrahnya orang Melayu itu bersatu.

Bangsa Melayu juga secara identiti ialah Islam. Islam itu menyatu. Dalam sejarah hingga kini, kita tidak jumpa ada perkampungan Melayu tetapi beragama Hindu seperti di Pulau Bali. Atau satu leluhur keluarga dengan nama keluarga itu ialah tanda Kristian.
Tidak ada contoh pada nama sebagai analogi nama Wan, Nik, Syed, Nasution, nama leluhur seperti ini Melayu tetapi beragama Kristian.
Pun tidak ada. Tidak jumpa hal seperti ini di Tanah Melayu seperti di negara-negara Arab atau Indonesia.
Maka secara pegangan agama, kita telah bersatu.
Paling mujarab
Jadi, maknanya orang Melayu kita memang telah bersatu. Lalu apa sebenarnya sisi penyatuan Melayu yang ingin kita ubati?
Jawabnya ialah orang politik itu mesti diubati. Pemimpin politiklah menggerakkan politik sentimen menakut-nakutkan orang Melayu.
Kita sebagai politikus yang asyik menanamkan dakyah orang Melayu tidak bersatu. Inilah tumor sebenar dalam susuk tubuh badan sosial Melayu.
Maka ubat paling mujarab untuk menyatukan Melayu yang tamadunnya telah pun bersatu ialah kita orang politik berhentilah berpolitik memainkan sentimen kaum dan agama.

Balik kepada politik nilai. Bercakaplah tentang nilai baik dan idea pemajuan Melayu. Bukan eksklusifkan bicara mencari siapa lebih melayu.
Lantang bercakap hanya semata-mata ingin beritahu aku paling Melayu dan paling Islam. Untuk tujuan ini, pemimpin politik Melayu jaga lisan dan jaga tulisan. Selesai yang ini sebabak, pasti tiada lagi isu Melayu tidak bersatu.
Bukti? Ya, ada bukti. Cuba kita keluar dari kasus politik. Kita lihat dalam muamalat. Di sana itu ada pelbagai institusi Melayu Islam yang berbeza.
Kita ada pelbagai NGO muamalat Melayu seperti Perdasama, Dewan Perniagaan Melayu, Persatuan Kontraktor Bumiputera. Itu baru NGO.

Belum masuk koperasi lagi. Ada di situ ratusan koperasi melayu. Koperasi guru, sekolah, kakitangan kerajaan dan koperasi keluarga. Tak pernah sekali kita sebut kepelbagaian yang rencam ini sebagai tanda Melayu berpecah.
Dalam muamalat, masing-masing kita boleh bekerjasama sekali dan cuba berlumba-lumba membuat kebaikan. ‘Fastabiqulkhairat’.
Tidak pernah pun kita lancang mulut menyeru semua orang Melayu; “Marilah kita semua orang Melayu duduk dalam satu Dewan Himpunan Ekonomi Melayu Ulung”.
Tutup semua yang lain dan duduk dalam satu institusi sahaja. Barulah Melayu bersatu. Tidak pernah ada, tidak pernah bincang. Tidak pernah buat kalut hal seperti ini.
Jadi mudahnya, kita orang politik berubahlah. Kita cari idea-idea baru dan progresif untuk majukan minda serta budaya kerja yang segar. Bukan mencari siapa lebih Islam dan siapa lebih Melayu.
Alhamdullilah. Oleh kerana musyawarah, tiada sesi bahas dan argumetasi. Semua diam dan jumpa titik temu. Dalam budaya Melayu, diam itu tanda setuju.
*ZAMIR GHAZALI merupakan Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH).
BACA JUGA Lapan parti teras Islam, Melayu dan Bumiputera cari titik persefahaman