Malaysia catat rekod pelaburan tertinggi RM426.7 bilion, bukti keyakinan dunia terhadap Kerajaan MADANI

Malaysia mencatat sejarah baharu apabila merekodkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara pada tahun 2025, dengan nilai mencecah RM426.7 bilion, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pencapaian tersebut merangkumi 8,390 projek pelaburan yang berpotensi mewujudkan sebanyak 244,902 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Menurut beliau, pelaburan domestik kekal kukuh dengan jumlah RM219.6 bilion, merangkumi 51.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara.

Pada masa sama, jelasnya, pelaburan asing turut mencatat lonjakan ketara sebanyak 20.9 peratus kepada RM207.1 bilion, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap kestabilan politik, dasar ekonomi yang jelas serta hala tuju pembangunan negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pencapaian tersebut adalah hasil usaha bersepadu seluruh jentera Kerajaan MADANI.

Tambahnya, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terus mempergiat usaha memastikan pelaburan yang diluluskan dapat direalisasikan sepenuhnya.

“Ini bukan sekadar angka, sebaliknya bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia dan agenda pembaharuan yang sedang kita laksanakan.

“Kita akan terus bekerja keras memastikan seluruh rakyat merasai nikmatnya,” kata Anwar sambil mengucapkan rasa syukur.

BACA JUGA Pemimpin politik sendiri usah jadi ‘tumor’ perpecahan Melayu