Majlis Iftar Yayasan PEKEMA santuni 150 pelajar tahfiz dan asnaf

FOTO BERITA: Majlis Malam Seribu Keberkatan & Kerahmatan Iftar bersama Yayasan PEKEMA 2026. Turut dihadiri YBhg Datuk Hj Mohamed Nazari Noordin, Pengerusi Yayasan PEKEMA di Dewan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya. Selangor. 6hb Mac 2026 (Jumaat)

Majlis Malam Seribu Keberkatan & Kerahmatan – Iftar Bersama Yayasan PEKEMA 2026 telah berlangsung dengan penuh kemeriahan dan suasana penuh keberkatan di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya, Selangor.

Majlis anjuran Yayasan PEKEMA itu turut dihadiri oleh Mohamed Nazari Noordin, Pengerusi Yayasan PEKEMA, bersama ahli-ahli Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), tetamu jemputan serta para penerima sumbangan.

Program tersebut menghimpunkan seramai 150 pelajar tahfiz dan anak-anak asnaf yang diraikan dalam majlis berbuka puasa serta penyampaian sumbangan sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial terhadap golongan yang memerlukan, Yayasan PEKEMA telah menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM150 kepada setiap pelajar tahfiz dan anak-anak asnaf yang hadir. Secara keseluruhannya, jumlah sumbangan yang disalurkan pada majlis tersebut adalah sebanyak RM22,500.

Presiden PEKEMA dalam ucapannya berkata program seperti ini mencerminkan komitmen berterusan PEKEMA dan Yayasan PEKEMA dalam memperkukuhkan nilai kemasyarakatan serta memupuk semangat berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua ahli PEKEMA yang hadir serta pihak-pihak yang telah memberikan sokongan dalam menjayakan majlis berkenaan. Menurutnya, sokongan padu daripada ahli-ahli dan rakan strategik memainkan peranan penting dalam memastikan program kebajikan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

Majlis ini bukan sahaja bertujuan menyantuni pelajar tahfiz dan golongan asnaf, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli PEKEMA serta menyemai nilai keprihatinan dalam masyarakat.

Yayasan PEKEMA berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai golongan yang memerlukan pada masa akan datang.
