Malaysia, Qatar, Bahrain, UAE capai kata sepakat utamakan pendekatan damai
Malaysia, Qatar, Bahrain dan juga United Arab Emirate (UAE) mencapai kata sepakat agar mengutamakan pendekatan damai serta menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan dan keamanan serantau.
Perkara ini dicapai hasil hubungan telefon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin tiga negara berkenaan yang turut terkesan dengan perang antara Iran dengan Amerika dan Israel sekarang.
“Kami senada menzahirkan harapan agar semua pihak mengutamakan pendekatan damai serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menggugat kestabilan dan keamanan sejagat.
“Semoga Ramadan yang mulia ini memperkukuh perpaduan ummah dan membuka ruang kepada keamanan serta kestabilan yang lebih berkekalan di rantau ini dan seluruh dunia,” kata PM Anwar dalam satu kenyataannya malam tadi.
Beliau turut menghargai komitmen kerajaan UAE untuk menjamin keselamatan dan kebajikan kira-kira 10,000 rakyat Malaysia yang kini berada di UAE.
PM Anwar bercakap dengan pemimpin Qatar, Bahrain dan juga United Arab Emirate (UAE) melalui telefon semalam.
“Sewaktu perbualan dengan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, kemudian dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, HRH Putera Salman bin Hamad Al-Khalifa, kami bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa di Qatar dan Bahrain serta rantau Timur Tengah, susulan konflik yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran.
“Di kesempatan ini, saya menyatakan simpati dan sokongan Malaysia kepada Qatar dan Bahrain yang sedang berdepan ancaman terhadap kedaulatan, infrastruktur dan keselamatan negara, akibat tindakan balas Iran terhadap serangan rejim Israel bersama Amerika Syarikat.
“Saya turut menghargai usaha Kerajaan Qatar dan Bahrain dalam menjamin keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang berada di kedua-dua negara tersebut,” kata Anwar.
Sewaktu perbualan dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, PM Anwar bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa di rantau Timur Tengah terkait situasi keselamatan serantau susulan konflik yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran.
“Di kesempatan ini juga, saya menyatakan simpati dan sokongan Malaysia kepada UAE yang turut terkesan akibat daripada tindakan balas Iran terhadap serangan Israel bersama Amerika Syarikat,” katanya.
Ketiga-tiga negara Teluk berkenaan turut berdepan masalah apabila kem-kem tentera dan fasiliti Amerika di negara masing-masing diserang oleh Iran sebagai tindak balas ekoran serangan Amerika dan Israel ke atas mereka.
Dalam masa yang sama, dua lagi negara iaitu Arab Saudi dan Kuwait dikatakan cuba menjauhkan diri dari Amerika untuk menyelamatkan negara mereka dari terus dihujani serangan oleh Iran.
BACA JUGA Kematian tentera Amerika kini mencecah 1,000 orang, kata bekas MP British