Parti baharu anak muda muncul di Terengganu
Di tengah gendang pilihanraya mula dipalu, sebuah parti politik baharu yang dipimpin oleh anak muda, Parti Generasi Rakyat Negeri Terengganu, telah ditubuhkan dan memperkenalkan barisan kepimpinannya baru-baru ini.
“Parti Generasi Rakyat Negeri Terengganu secara rasmi memperkenalkan barisan Ahli Majlis Tertinggi yang akan menerajui gerak kerja dan agenda belia di peringkat negeri,” kata satu kenyataan parti itu.
Menurut kenyataan itu, penubuhan parti ini berteraskan aspirasi untuk memperkukuh peranan generasi muda dalam pembangunan masyarakat serta memastikan suara mereka diberi tempat dalam wacana kepimpinan dan pembentukan dasar.
Barisan kepimpinan yang diumumkan terdiri daripada individu berintegriti dan komited memperjuangkan agenda belia yang progresif dan inklusif, katanya.
Antara fokus parti ini adalah:
▪️ Memperkasa potensi serta kepimpinan anak muda
▪️ Mengangkat isu pendidikan, pekerjaan, keusahawanan dan kebajikan belia
▪️ Menggalakkan penyertaan aktif dalam pembangunan komuniti dan negeri
“Kami percaya gabungan idea segar dan semangat anak muda mampu diterjemahkan kepada tindakan yang memberi impak sebenar kepada Terengganu,” katanya.
Parti ini juga menyeru seluruh generasi muda untuk bersama menyumbang idea, tenaga dan kepakaran demi masa depan negeri yang lebih dinamik dan sejahtera.
“Suara belia bukan sekadar gema, tetapi kekuatan yang membentuk masa depan,” kata kenyataan itu.
Berdasarkan senarai kepimpinan yang dikeluarkan, Pengerusi parti ini adalah Mohammad Ihsan Mat Nasir, seorang bekas pelajar UniSZA, Gong Badak, Kuala Terengganu.
Beliau juga terlibat dengan NGO Haluan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan berteraskan Islam.
BACA JUGA Malaysia, Qatar, Bahrain, UAE capai kata sepakat utamakan pendekatan damai