Rekod pelaburan RM426.7 billion bukti keyakinan dunia kepada Malaysia

Rakyat Malaysia wajar bersyukur ekoran kejayaan Malaysia mencapai pelaburan sebanyak RM426.7 bilion pada tahun 2025, yang merupakan tertinggi dalam sejarah negara, kata aktivis PKR.

Dalam satu kenyataannya, Timbalan Ketua Penerangan Keadilan Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan (gambar bawah) berkata, apa yang berlaku membuktikan bahawa keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik, dasar ekonomi serta hala tuju negara semakin kukuh.

“Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kemampuan Malaysia menarik pelaburan pada tahap sebegini menunjukkan negara berada di landasan yang betul,” katanya.

Bagi beliau, kemasukan pelaburan bukan sekadar angka besar di atas kertas, merupakan simbolik prestasi semua menteri dan penjawat awam Kerajaan Perpaduan Madani.

Ia juga membawa kesan langsung kepada ekonomi negara melalui pembangunan industri baharu, pengembangan syarikat sedia ada dan peningkatan aktiviti ekonomi di pelbagai sector, katanya.

“Harus diingat, setiap pelaburan yang masuk membuka ruang kepada rantaian ekonomi yang lebih luas.

“Ini termasuklah peluang kepada perusahaan tempatan, vendor kecil dan sederhana serta pembangunan teknologi dan kemahiran tenaga kerja tempatan,” katanya.

Paling penting, katanya, pelaburan ini memberi manfaat terus kepada rakyat melalui penciptaan peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan.

Apabila syarikat baharu beroperasi dan industri berkembang, lebih banyak peluang kerja diwujudkan untuk anak tempatan.

Justeru, pencapaian ini bukan sekadar kejayaan kerajaan semata-mata, tetapi satu petanda bahawa ekonomi negara semakin kukuh dan masa depan yang lebih baik sedang dibina untuk rakyat Malaysia.

“Syabas dan terima kasih adalah wajar ditujukan kepada PMX dan Kerajaan Madani. Jangan malu dan segan,” kata beliau dalam kenyataannya itu.

BACA JUGA Pangkalan tentera Amerika bukan lagi keselamatan tetapi ancaman