Wanita perlu jadi contoh perpaduan masyarakat — Aiman Athirah

FOTO BERITA: Program Iftar KASIH Wanita MADANI bersama YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu Timbalan Menteri KPKT merangkap Ahli Parlimen Sepang. Turut hadir Pean Juwairiya Zulkifli Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat, Kasthuriraani Patto Setiausaha Antarabangsa DAP, YB Senator Datuk Rosni Sohar, Setiausaha Wanita UMNO, di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya, Sepang, Selangor. 7hb Mac 2026 (Sabtu)

Majlis Perasmian Iftar KASIH Wanita MADANI berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah dan kebersamaan apabila menghimpunkan pemimpin wanita daripada pelbagai parti politik serta organisasi di Cyberview Resort & Spa, malam tadi.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Aiman Athirah Sabu yang juga Ahli Parlimen Sepang. Turut hadir beberapa pimpinan wanita daripada pelbagai parti dan pertubuhan yang bersama-sama menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan wanita sempena Ramadan.

Dalam ucapannya, Aiman Athirah menzahirkan kesyukuran kerana program berkenaan berjaya menghimpunkan pemimpin wanita daripada pelbagai latar belakang politik dalam satu majlis yang menekankan nilai kasih sayang dan perpaduan.

Menurut beliau, Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi merupakan ruang untuk memperkukuh jiwa perjuangan, membersihkan hati serta menyuburkan sifat kasih sayang sesama manusia.

“Ramadan adalah bulan untuk kita menguatkan jiwa perhambaan kepada Allah dan menghidupkan rasa kasih sayang sesama kita. Ia juga masa terbaik untuk kita memperkukuh semangat perpaduan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kepimpinan perlu berteraskan tiga nilai utama yang dicontohi daripada Rasulullah SAW, iaitu amanah dan integriti, sifat rahmatan lil ‘alamin serta akhlak yang mulia.

Katanya, pemimpin yang diberi amanah dalam kerajaan di peringkat persekutuan, negeri atau tempatan perlu memegang teguh nilai integriti agar mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa perbezaan dalam politik tidak seharusnya membawa kepada permusuhan berpanjangan kerana kebanyakan perbezaan yang wujud hanyalah dari sudut strategi dan pendekatan, bukan soal dasar atau akidah.

“Yang menyatukan kita sebenarnya bukan kita semata-mata, tetapi Allah SWT. Tanpa izin-Nya, hati manusia tidak akan dapat disatukan,” katanya sambil merujuk kepada pengajaran daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu yang menunjukkan pentingnya kerjasama antara pelbagai pihak.

Beliau turut menyeru golongan wanita agar terus menjadi contoh terbaik dalam memupuk perpaduan dan keharmonian masyarakat, memandangkan wanita mempunyai peranan besar dalam membentuk generasi akan datang.

Dalam ucapannya juga, beliau menyentuh mengenai sambutan International Women’s Day yang disambut setiap 8 Mac, sambil menegaskan bahawa ia bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi peringatan terhadap perjuangan wanita dalam menuntut maruah, keadilan serta peluang yang saksama dalam masyarakat.

Majlis Iftar KASIH Wanita MADANI tersebut menjadi platform penting untuk memperkukuh jaringan kerjasama dan ukhuwah antara pemimpin wanita pelbagai parti, sekali gus memperlihatkan semangat perpaduan yang selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.