Program Tadarus Wanita Meru perkukuh iman, dekatkan masyarakat dengan Al-Quran

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Tadarus & Khatam Perdana Wanita Meru dan Sambutan Hari Wanita 2026 oleh Yb Senator Ustazah Marhamah Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama). Turut hadir YB Mariam Abdul Rashid ADUN Meru dan Puan Faridah Samad CEO Wanita Berdaya Selangor di Dewan MBDK Meru, Klang Selangor. 8hb Mac 2026 (Ahad)

Program tersebut turut dihadiri lebih kurang 300 peserta muslimat dan masyarakat setempat yang berkumpul bagi memeriahkan aktiviti tadarus serta khatam al-Quran sempena bulan Ramadan.

Dalam ucapannya, Marhamah menekankan kepentingan sifat sabar dan reda terhadap ketentuan Allah SWT sebagai kunci memperoleh keredaan-Nya. Beliau mengingatkan bahawa seseorang hamba perlu terlebih dahulu reda terhadap takdir yang ditentukan sebelum mengharapkan keredaan daripada Allah.

Beliau turut mengajak para hadirin berdoa agar Allah mengurniakan keberkatan masa walaupun program berlangsung dalam keadaan jadual yang padat kerana beliau perlu bergegas menghadiri urusan lain di Labuan selepas majlis tersebut.

“Ya Allah, berikanlah keajaiban masa kepada kita. Walaupun masa kita terhad, semoga Allah memberi keajaiban masa seperti yang berlaku dalam kisah Ashabul Kahfi,” katanya.

Mengulas tajuk ceramah mengenai wanita dan al-Quran, beliau membawa kisah Ashabul Kahfi sebagai pengajaran tentang ketaatan dan keimanan kepada Allah SWT.

Menurutnya, Ashabul Kahfi yang dikejar kerana keimanan mereka tetap taat kepada perintah Allah untuk berlindung di dalam gua tanpa mempersoalkan arahan tersebut, walaupun keadaan di situ jauh daripada selesa.

Beliau menegaskan bahawa kisah tersebut wajar menjadi iktibar kepada umat Islam hari ini, khususnya golongan wanita, agar lebih bersyukur dengan nikmat kehidupan yang jauh lebih selesa berbanding keadaan yang dilalui oleh golongan beriman terdahulu.

“Bayangkan mereka tinggal di dalam gua yang lembap, gelap dan tidak selesa. Namun mereka tidak meminta kemudahan atau keselesaan, sebaliknya hanya memohon rahmat Allah dan petunjuk agar setiap urusan mereka berada di jalan yang benar,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mariam Abdul Rashid menyeru kaum wanita agar terus menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup serta sumber kekuatan rohani dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Menurut beliau, Ramadan merupakan peluang terbaik bagi umat Islam untuk kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT, membersihkan jiwa serta memohon keampunan daripada-Nya.

“Alhamdulillah, kita dipilih oleh Allah untuk sekali lagi berada dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Inilah peluang untuk kita kembali kepada Allah, mensucikan diri dan berharap agar di penghujung Ramadan nanti kita dibersihkan daripada dosa-dosa,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Marhamah atas kesudian hadir ke Meru buat kali kedua bagi menyampaikan tausiah berkaitan wanita dan al-Quran serta merasmikan majlis khatam tersebut walaupun jadualnya padat sebelum berlepas ke Labuan bagi urusan rasmi.

Dalam majlis yang sama, Mariam turut mengumumkan pelancaran Majlis Ilmu DUN Meru, satu inisiatif baharu yang akan dilaksanakan secara berkala khusus untuk golongan wanita.

Menurutnya, program tersebut dirancang untuk diadakan secara bulanan atau sekurang-kurangnya dua bulan sekali dengan menjemput penceramah bagi menyampaikan kuliah ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Insya-Allah, jika sambutan menggalakkan, kita akan jadikan majlis ilmu ini sebagai program bulanan supaya wanita di Meru sentiasa mempunyai ruang untuk menimba ilmu agama,” jelasnya.

Beliau berkata, penganjuran Majlis Khatam Perdana itu bukan sahaja sebagai acara tahunan tetapi juga simbol kecintaan umat Islam terhadap al-Quran serta usaha menjadikan kitab suci itu sebagai panduan hidup.

Dalam pada itu, Mariam menegaskan bahawa wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat, bukan sahaja sebagai tulang belakang keluarga tetapi juga sebagai penggerak dalam bidang sosial, pendidikan dan kesejahteraan komuniti.

Beliau turut mengimbas sejarah Islam yang memperlihatkan peranan besar wanita, termasuk Khadijah binti Khuwaylid yang menjadi penyokong kuat perjuangan Muhammad serta Sumayyah binti Khayyat yang dikenang sebagai syahid pertama dalam mempertahankan keimanan.