Pindaan Enakmen Syariah Kelantan hampir dimuktamadkan
Selepas dua tahun sejak Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan, kerajaan Pas kini berada di peringkat akhir menyediakan pindaan sebelum dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, draf pindaan enakmen berkenaan ketika ini sedang melalui proses penelitian di peringkat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi semakan lanjut.
Menurutnya, selepas proses penelitian itu selesai, syor pindaan berkenaan akan diketengahkan semula ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum dimuktamadkan untuk pembentangan di persidangan DUN.
Beliau berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada proses memperkemas peruntukan sedia ada agar selaras dengan kehendak perundangan semasa.
“Jika tiada perubahan sebagaimana dimaklumkan sebelum ini oleh Pengerusi Lajnah Undang-Undang yang juga Timbalan Menteri Besar, ia dijangka dilaksanakan pada tahun ini,” katanya, dipetik Bernama.
Asri yang juga Ketua Penerangan Pas Kelantan berkata demikian selepas Majlis Iftar Perdana bersama pengamal media, malam tadi.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu, sebahagian besar penyediaan pindaan itu sebenarnya telah siap sejak tahun lalu.
Namun, katanya lagi, beberapa perkara masih memerlukan penambahbaikan sebelum dimuktamadkan termasuk kajian oleh pelbagai pihak berautoriti dalam kerajaan negeri, termasuk mufti, Jemaah Ulama serta panel peguam yang dilantik.
Pada 9 Februari 2024, Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 kerana didapati melangkaui bidang kuasa DUN dan bertindih dengan undang-undang jenayah di bawah bidang kuasa Parlimen.
Panel sembilan hakim yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan membatalkan enakmen terbabit dengan majoriti 8-1.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan petisyen yang difailkan oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid bersama anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.
BACA JUGA Azizulhasni raih pingat gangsa acara pecut tewaskan pelumba Israel