Rutin kehidupan tidak berubah meski bukan lagi wakil rakyat – Hasanuddin
Meskipun tidak lagi menjadi wakil rakyat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus menceritakan rutin hariannya tidak berubah apabila beliau masih tetap menjalankan aktiviti kemasyarakatan termasuk menyalurkan bantuan kepada penduduk seperti sebelum ini.
Bekas Ahli Parlimen Hulu Langat berkata sepanjang Ramadan lalu, masih ada lagi penduduk yang menghubunginya untuk menghadiri program di kawasan mereka.
Beliau percaya sebagai seorang pemimpin, mereka perlu berpegang kepada prinsip bahawa “berdakwah tidak kira dalam keadaan apa sama ada berjawatan atau tidak”.
“Bagi saya menjadi Ahli Parlimen atau tidak, tak banyak bezanya sebab sebelum kita menang pilihan raya, kita turun jumpa pengundi.
“Selepas kalah pilihan raya, kita masih lagi berjumpa pengundi kerana tujuan kita ialah untuk dakwah. Bawa mereka pada Allah,” ceritanya kepada Harapan Daily baru-baru ini.
Hasanuddin, 59, (gambar kecil) yang juga Naib Presiden AMANAH menjadi wakil rakyat Hulu Langat selepas menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Beliau pertama kali bertanding kerusi Parlimen itu berjaya memperoleh 49,004 undian ketika menentang Azman Ahmad daripada Barisan Nasional yang mendapat 23,580 undi manakala Che Rosli Che Mat dari Pas mendapat 15,663 undi.
Pertembungan tiga penjuru ini menyaksikan beliau menang dengan majoriti undi sebanyak 25,424.
Beliau dahulunya merupakan ahli Pas sejak 1999 hingga 2015 dan kini bersama AMANAH dalam meneruskan perjuangan siasahnya.
Pada PRU15, kerusi Hulu Langat berjaya dipertahankan oleh Ketua Biro Mobilisasi AMANAH, Mohd Sany Hamzan yang juga ADUN Taman Templer.
Tambah Hasanuddin komunikasi dengan penduduk kampung juga tetap berterusan meskipun beliau tidak lagi menjadi wakil rakyat.
Katanya pada 13 April lalu Ketua Kampung Sungai Purun, Hulu Langat Tok Bostaman Mokhtar telah pulang ke rahmatullah ketika umat Islam baru menghidupkan 10 Ramadan terakhir.
“Keluarga arwah, teman-teman hubungi, maklumkan saya untuk datang ziarah arwah dan akhirnya saya diminta untuk mengimamkan solat jenazah ketua kampung itu. Bererti komunikasi dengan penduduk sehingga kini berkekalan,” katanya.
Hasanuddin yang berasal dari Rengit, Johor berkata sepanjang bulan Ramadan ada juga beberapa penduduk kampung yang meminta beliau menaja bubur lambuk.
Selain itu, beliau juga menerima beberapa jemputan untuk memberi tazkirah di masjid-masjid, namun terpaksa menolak dengan baik memandangkan negeri itu tidak membenarkan ahli politik berceramah di masjid.
“Hari Raya ini juga ada yang minta saya baca khutbah raya tapi saya terpaksa menolak dengan manis (baik) sebab kita sangat menghormati situasi keadaan sekarang,” ujarnya.
Mengenai sambutan Aidilfitri Hasanuddin berkata beliau meneruskan tradisi mengadakan rumah terbuka khas untuk penduduk Hulu Langat sebagai dahulu ketika menjadi Ahli Parlimen.
“Insya-Allah saya buat rumah terbuka seperti tahun lepas, khususnya untuk ketua-ketua kampung, nazir masjid, pimpinan-pimpinan dan masyarakat setempat juga.
“Masyarakat Cina dan India juga dijemput. Saya juga akan menziarahi beberapa pimpinan tokoh-tokoh aktivis dalam Parlimen Hulu Langat,” katanya.
BACA JUGA: ‘Akurlah, kalau tiada tauliah tak payah mengajar’ – Hasanuddin
Â