Menjelang Aidilfitri: 5.2 juta rakyat terima STR mulai esok, FLYsiswa diperluas, harga barang dikawal
Kerajaan MADANI mengumumkan beberapa langkah bagi membantu meringankan beban rakyat menjelang sambutan Aidilfitri, termasuk mengawalkan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada 5.2 juta penerima di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan antara inisiatif kerajaan bagi memastikan rakyat dapat membuat persiapan menyambut Aidilfitri dengan lebih tenang dan gembira.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pagi tadi.
Sebanyak RM1.3 bilion diagihkan kepada 5.2 juta penerima STR dengan bayaran bermula esok.
Menurut Anwar, kerajaan turut menyediakan Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara dan veteran.

Turut menikmati bantuan adalah lebih 70,000 petugas institusi masjid termasuk imam, bilal, tok siak, noja dan marbut, serta guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan guru takmir di seluruh negara.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan bahawa subsidi tiket penerbangan di bawah inisiatif FLYsiswa turut diperluas bagi membantu lebih 50,000 mahasiswa pulang ke kampung halaman.

Dalam masa, beliau berkata, kerajaan juga memperkukuh usaha mengawal harga barangan melalui pelaksanaan Jualan Rahmah MADANI.

Anwar berkata, segala ikhtiar yang dilaksanakan kerajaan itu diharap dapat membantu rakyat membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih selesa serta menikmati sambutan hari raya bersama keluarga dan insan tersayang.
“Semoga ikhtiar ini sedikit sebanyak membantu rakyat dalam membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih tenang dan gembira bersama keluarga serta insan tercinta, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Ini sebabnya 125,000 penjawat awam Gred 1 mengukir senyuman